Berita Terkini
recent

Debaran Lufya, impian suami jadi kenyataan

KURANG sebulan, pasangan sejoli, Lufya Omar dan suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum bakal menjadi ibu dan bapa.

Biarpun teruja, pasangan ini mengakui berdebar menantikan cahaya mata pertama, awal November depan.




“Alhamdulillah, doktor mengesahkan kami bakal menimang cahaya mata perempuan. Kami tak kisah jantina anak, tapi jika diberi pilihan, suami mahukan anak perempuan. Ibaratnya, ini adalah impian yang termakbul," katanya kepada Media Hiburan.


Justeru. pasangan ini mengadakan sambutan baby shower sempena menyambut kelahiran bayi mereka.


Pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar ini berseri dalam balutan gaun putih dengan lukisan yang menggambarkan keinginan pasangan itu untuk memiliki keluarga bahagia.

“Majlis ini sebagai kenangan indah sebelum melahirkan cahaya mata. Sebab itu, saya benar-benar bersemangat memakai gaun ilham Losravelda, hari ini,” katanya.

Jelasnya lagi, majlis itu sengaja diadakan atas dasar ingin berkongsi rasa teruja menantikan kelahiran bayi.

“Sebenarnya, perasaan saya semakin berdebar dan takut apabila semakin hampiri tarikh bersalin, sebab itu, salah satu tujuan saya buat majlis ini semoga ada aura-aura positif yang datang sekali gus menceriakan saya," katanya sambil ketawa.

Katanya, dia kini lebih tenang apatah lagi ramai yang mendoakan kesejahteraannya dan bayi yang bakal dilahirkan.

Walaupun usia kandungan sudah mencecah lapan bulan, peserta Akademi Fantasia masih cergas dan aktif namun Lufya sentiasa mengingatkan diri supaya perlu mengurangkan kerjanya.

“Anak saya juga begitu, jika dulu dia aktif pada waktu tertentu tapi apabila semakin dekat waktu bersalin, dari siang ke malam dia aktif bergerak.

“Itulah, buat masa ini semua persiapan dah siap dilakukan, cuma belum kemas barang yang perlu dibawa ke hospital nanti,” katanya.

Selain ahli keluarga, majlis berkenaan turut dihadiri  rakan-rakan selebriti seperti Yatt Hamzah, Irma Hasmie, Adam Corrie dan Aliff Aziz.

Tanggungjawab besar dan berat

Sebagai persediaan, Lufya dan Dr Che Muhammad Hafiz turut membuat pelbagai rujukan sebelum bergelar ibu dan bapa.

Tambahan pula, mereka sedar  tanggungjawab terhadap si kecil yang bakal lahir.

“Paling utama, kami minta nasihat  penjagaan bayi daripada keluarga. Kadang-kadang, kami juga mencari bahan bacaan yang sesuai," katanya.

Mengharapkan proses melahirkan dipermudahkan, Lufya dan suami juga sudah memilih beberapa nama buat puteri sulungnya itu, tetapi hanya akan berkongsinya apabila bayi mereka selamat dilahirkan.

Dalam pada itu, berbeza dengan selebriti lain, Lufya dan suaminya mengakui belum terfikir membuka akaun media sosial buat anak sulungnya tetapi mereka mahu bayi membesar dalam keadaan sihat dan tidak terlalu terdedah dengan perkara negatif dari  media sosial.

“Buat masa ini, kami belum rasa ada keperluan untuk buka akaun media sosial. Apa yang saya nak kongsi boleh dimuat naik di akaun media sosial saya saja," ujarnya lagi.

Lufya juga tidak kisah jika ada yang mengkritik caranya membesarkan anak namun sebagai ibu bapa, pastinya pasangan ini mahu memberikan yang terbaik.

"Kami akan lihat setiap kritikan dari sudut positif dan anggapnya sebagai kebaikan,” katanya.
Powered by Blogger.