Berita Terkini
recent

Dayang tak kisah

PENYANYI Dayang Nurfaizah enggan mengulas panjang komen negatif dibuat peminat penyanyi Indonesia, Isyana Sarasvati berikutan kemenangannya di Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) yang berlangsung di MES Theatre Mediacorp, Singapura, Ahad lalu.

Sebaik Dayang diumumkan pemenang bagi kategori utama Artis Terbaik Wanita, sebahagian penyokong Isyana yang popular dengan lagu Tetap Dalam Jiwa meluahkan rasa tidak puas hati dan mencemuh penyanyi yang melakukan hatrik memenangi anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu, terbitan TV3 itu.

Dayang berkata, dia tidak membaca kritikan peminat Isyana dan hanya mengetahuinya daripada pengurus dan syarikat rakamannya, Indigital Sdn Bhd.

“Saya anggap ini perkara biasa. Mungkin peminat setia Isyana mencemuh saya kerana kecewa penyanyi kesayangan mereka tidak menang kategori terbabit.


“Cuma dalam hal ini sepatutnya mereka lebih faham kategori terbaik penilaiannya dibuat juri yang dilantik khas oleh penganjur. Saya percaya juri yang mengadili ketegori itu mempunyai latar belakang dan pengalaman luas dalam industri muzik serantau,” katanya.

Dayang turut menegaskan kemenangan bagi setiap ketegori terbaik tidak seharusnya dijadikan isu. Berbeza sekiranya dia memenangi kategori popular yang mana pemilihannya bergantung penuh pada undian peminat.

“Saya tidak kecil hati apabila peminat Isyana mempertikai kemenangan ini. Situasi sama dilalui peminat saya jika saya tidak memenangi pencalonan anugerah atau pertandingan nyanyian.

“Mujur mereka hanya meluahkan rasa kecewa sesama mereka dan bukan di media sosial. Toleransi tinggi yang ditunjukkan itu membuatkan saya menyayangi mereka,” katanya.

Selain Isyana, penyanyi lain yang bersaing dengan Dayang dalam kategori terbabit adalah Aisyah Aziz mewakili Singapura dan Raisa (Indonesia).

Dayang turut memenangi kategori Lagu Terbaik Malaysia menerusi lagu Lelaki Teragung.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.