Berita Terkini
recent

Dayang masih gementar

Biarpun pernah mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) beberapa kali, penyanyi Dayang Nurfaizah tiada masalah dan tetap selesa untuk beraksi di pentas separuh akhir Muzik Muzik 32 pada 5 November ini.

Dayang yang turut menang Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut di AJL, menjadi satu-satunya penyanyi paling senior dan kerap bertanding pada acara berprestij itu.

Katanya, dia sama sekali tidak memandang mudah persaingan daripada penyanyi baru. Malah Dayang akui dirinya rasa gementar untuk bersaing dengan mereka.

“Saya tidak boleh terlalu yakin dengan keadaan sekarang. Kalau perasan, semua penyanyi baru yang bertanding, mereka lebih berani bereksperimen. Apatah lagi lagu yang tercalon pula bagus.

“Sejujurnya, saya takut dengan kehadiran mereka. Semangat yang ada pada mereka membuatkan saya perlu bekerja keras dan memberikan persembahan lebih baik.

“Saya tidak mahu terlalu selesa kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Bakal menyanyikan lagu Separuh Mati Ku Bercinta hasil ciptaan Ajai, Dayang mengakui risau dengan harapan tinggi yang diletakkan peminat terhadap dirinya.

Mengungguli AJL tahun lalu melalui Lelaki Teragung, Dayang berkata, setiap tahun peminat meletakkan harapan tinggi untuknya menang.

“Perkara ini membuatkan saya bertambah risau.

Pada masa sama, saya juga tidak mahu menghampakan mereka.

“Jadi, paling penting sekarang saya ingin fokus persembahan. Sebagai penyanyi menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan lagu ini dengan baik kerana saya mewakili karya komposer ini. Saya cuba lakukan sehabis baik dan termampu,” katanya.

Pada masa sama, ramai beranggapan pembabitan Dayang kali ini dilihat penyelamat kepada acara berprestij itu.

Namun, Dayang tidak mahu meninggi diri sebaliknya beranggapan ia perubahan aliran muzik.

“Kalau ikutkan, saya rindu suasana pertandingan dulu apabila ramai rakan penyanyi seangkatan turut serta. Ketika itu memang berasa sangat seronok. Saya berharap perkara ini dapat berulang kembali.

“Soal penyelamat pertandingan pula, saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini. Setiap kali layak bertanding, saya hanya mahu membuat persembahan terbaik. Apa saja tanggapan orang saya tidak ambil peduli.

“Selagi saya ada lagu baru dan komposer ingin pertandingkan, saya okey saja. Tidak ada sebab untuk tak bertanding. Sebenarnya, saya suka dan seronok menyertai pertandingan. Ia membuatkan saya lebih kreatif dan mampu mencabar diri,” katanya.

Menurut Dayang, dia juga ingin mencabar diri sekali bagi merebut Vokal Terbaik bagi tahun keempat.

Pada peringkat kedua separuh akhir, Dayang turut berentap bersama sembilan penyanyi lain. Antaranya, Drama Band & Haiza (Jangan Pernah Berdusta), Sufi Rashid (Aku Sanggup), Tomok & Black (Rempuh), Aizat Amdan (Jangan Menangis), Sufian Suhaimi (Harus Aku), Floor88 (Zalikha), Ara Johari (Warkah Untukmu), Aiman Tino (Permata Cinta) dan Siti Nordiana (Terus Mencintai).
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.