Berita Terkini
recent

Daiyan Trisha percaya rezeki

PENEROKAAN Daiyan Trisha selama tiga tahun dalam dunia hiburan lokal memberi seribu satu peluang buat bintang cantik ini untuk terus mengatur langkah jitu di arena seni.

Akui pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 24, ini kepada Media Hiburan, perjalanan kariernya setakat ini berjalan dengan lancar, meski sebelum ini Daiyan terpaksa memberi laluan dan fokus terhadap pengajian di dalam pemasaran.

“Alhamdulillah, saya baru saja tamat pengajian. Jadi selepas ini, bolehlah beri komitmen yang lebih terhadap nyanyian dan lakonan. Saya akan muncul dengan single terbaru berjudul Kita Manusia  yang ditulis saya bersama Omar K. Insya-ALLAH pada Januari depan juga, filem pertama lakonan saya, Busker di samping aktor muda, Hafeez Mikail akan ditayangkan.


“Pada masa sama, saya turut terlibat di dalam drama episod, Coffee Prince, mendukung peranan sebagai adik kepada Janna Nick. Syukur, rezeki dalam bidang seni masih lagi ada meski jadual masa agak terbatas bagi memberi laluan terhadap pengajian sebelum ini,” kongsi Daiyan yang cukup dikenali menerusi drama Dee tidak lama dulu.

Melihat perjalanan seninya yang agak ‘turun naik’ kebelakangan ini, selebriti asal Selangor itu tidak cepat melatah. Sebaliknya, Daiyan optimis untuk terus menyusun strategi tersendiri. Tiada istilah putus asa di dalam kamus hidupnya, penyanyi dan pelakon ini mahu terus berusaha, memberikan yang terbaik buat kelompok peminat setia.

“Saya baru sahaja menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan pemasaran. Jujur, sebelum ini memang banyak masa diberikan terhadap pengajian. Walau sejauh mana pun kita boleh pergi dalam hiburan, namun bagi saya pelajaran itu masih menjadi hal paling utama. Jadi bila sudah tamat belajar, inilah masa terbaik untuk saya full blast apa yang tertinggal sebelum ini.

“Jadi, buat masa ini, hala tuju saya pada masa sekarang adalah nyanyian. Bagaimanapun, saya tetap akan terus berlakon sekiranya watak yang ditawarkan itu sesuai dan tidak bercanggah dengan jadual persembahan pentas,” katanya yang turut menambah, dia senang dengan perjalanan kerjaya yang disifatkannya sebagai ‘slow and steady’.

Kongsi Daiyan, dia bimbang andai kerjayanya ‘boom’ dalam tempoh yang terlalu cepat, pada bila-bila masa saja meter populariti itu boleh turun secara mendadak.

“Orang selalu cakap kalau cepat naik, kita akan cepat jatuh. Bagi saya itu rezeki dan tuah masing-masing. Tapi itulah, bimbang juga kalau ramai sangat bilang hal sama. Jadi rasanya biarlah saya selesa dengan situasi sekarang. Saya pun tidak pernah anggap dirinya terlalu ‘boom’. As long as saya ada produk, single dan drama untuk disajikan buat peminat, ia sudah memadai. Biarlah status populariti itu hadir dengan sendiri.

“Bagi saya, progress seni saya berjalan baik-baik saja. Masih stabil dan kalau dikatakan soal persaingan, itulah yang berikan lebih ‘warna’ pada industri. Saya tidak melihat penyanyi lain khasnya sebagai saingan. Sebaliknya, mereka pun berusaha keras untuk mencari tapak kukuh dalam seni. Begitu juga dengan saya. Jadi, tiada istilah siapa yang lebih hebat,” terang Daiyan.

Tambahnya, apa yang paling utama ialah dia perlu tahu apakah fokus dan berikan yang terbaik di dalam apa sahaja yang dilakukan.

Mengharapkan sokongan berterusan dari peminat, dia yang turut muncul menerusi single Bahasa Inggeris berjudul Boy In My Dream itu turut menaruh harapan besar agar single terkininya itu mendapat maklum balas  positif.

Jadi mangsa buli siber

Tidak terlepas daripada diheret sebagai salah seorang selebriti yang menjadi mangsa buli siber di jaluran media sosial, Daiyan menyifatkan senario tersebut tidak boleh disekat. Katanya, kuasa dan perkembangan teknologi yang pesat memberi peluang buat mereka yang tidak bertanggungjawab untuk akses, sekali gus menyalah gunakan kemudahan tersebut.

“Lebih tiga minggu lalu, akaun Instagram (IG) saya telah dicerobohi. Mereka padam akaun tersebut. Rasa pelik juga kerana saya ingatkan, individu tersebut mahu ‘mengambil’ followers untuk buat perniagaan dalam talian. Sebaliknya, dia hapuskan terus akaun IG saya.

“Rasa ralat juga kerana ia turut melibatkan urusan perniagaan dengan client dan sebagainya. Lalu saya menghubungi pihak IG dan alhamdulillah, mereka berjaya restore balik akaun tersebut,’ akhiri Daiyan yang turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali buat semua penganut Hindu di negara ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.