Berita Terkini
recent

Cinta dunia seni masih mendalam

Selepas menempa populariti menerusi lagu Selendang Rindu pada usia 26 tahun, penyanyi Rohayu Majid, 45, terus menyepi daripada sebarang publisiti.

Pernah menghasilkan album Cinta Kopi Susu bersama syarikat rakaman Life Record pada 1996, Rohayu mengecapi populariti sebagai penyanyi untuk tempoh masa yang singkat saja. Selain Selendang Rindu, Rohayu juga dikenali melalui lagu Kau Penggoda dan Gelora Rindu penghujung era 80-an.

Ruangan Hang Pi Mana minggu ini mendapat­kan penyanyi asal Pulau Pinang ini yang kini sibuk menguruskan perniagaan keluarganya.

Walaupun menyepi dari dunia seni, Rohayu akui cintanya pada dunia seni masih mendalam pada bidang nyanyian sejak dulu.

Mungkin ramai yang tidak tahu Rohayu banyak menimba pengalaman membuat persembahan di kelab sejak 2000 sehingga 2012.

Katanya, banyak pengalaman pahit dan manis yang ditimba sebagai anak seni sepanjang beraksi di kelab sebelum ini.

“Walaupun tanpa publisiti, saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan penganjur persembahan sampai sekarang.

“Alhamdulillah, saya masih memenuhi unda—ngan persembahan dan majlis makan malam anjuran pihak korporat mahupun persendirian. Ternyata peminat masih mengingati saya sampai hari ini,” katanya.

Rohayu juga akui ada perancangan untuk kembali dengan album baru bagi mengubat kerinduan peminat setianya.


ROHAYU kini menguruskan perniagaan keluarga di Pulau Pinang.
“Kali terakhir saya merakamkan album pada 1996. Oleh itu, saya memang ada perancangan untuk muncul dengan lagu atau single baru nanti.

“Saya juga ada menerima beberapa lagu daripada komposer. Pada masa sama, saya juga mengikuti perkembangan bidang muzik tanah air dan pastinya perlu menghasilkan lagu yang benar-benar dapat menepati cita rasa peminat masa kini,” katanya.

Rohayu juga bangga melihat perkemba­ngan industri muzik kini apabila ramai bakat baru yang muncul. Katanya, ia sesuatu yang positif untuk mewarnai bidang hiburan tempatan.

“Memang terlalu ramai penyanyi yang muncul bagaikan cendawan tumbuh. Tapi sayangnya yang benar-benar berbakat dan terus bertahan dalam bidang nyanyian hanyalah segelintir,” katanya.

Selesa dengan status solo

Pada usia mencecah 45 tahun, Rohayu mengakui masih selesa dengan status solonya ketika ini. Katanya, buat masa ini dia belum terfikir untuk berumah tangga lagi.

“Saya bersyukur dengan apa yang dikecapi ketika ini. Soal jodoh, saya serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya.

Selain bidang nyanyian, Rohayu juga sibuk menguruskan perniagaan keluarganya di Pulau Pinang.

“Apabila sibuk bekerja, saya juga tidak terfikir untuk membina keluarga lagi,” katanya.
Powered by Blogger.