Berita Terkini
recent

Cikgu Meera disunting Jay Production

SELEPAS Khai Bahar dan Wany Hasrita berjaya dicungkil sebagai penyanyi menerusi Smule, kini seorang lagi bakat baharu berjaya diketengahkan menerusi aplikasi muzik karaoke itu.

Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi, 24, yang merupakan seorang guru muzik di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor tidak menyangka video nyanyiannya di Smule menjadi tular dan mendapat  perhatian ramai.

Hasilnya syarikat rakaman Jayy Production turut jatuh hati untuk menyunting ‘Cikgu Viral’ ini sebagai artis mereka dan memberi peluang kepadanya untuk merakam single berjudul ‘Oh Sayangku’ karya komposer Eddie Hamid manakala liriknya ditulis oleh Nur Hakim.


"Saya sangat bertuah dapat menyanyikan lagu Oh Sayangku ciptaan Eddie Hamid yang mula dilancarkan pada 6 Okt lalu, kerana bukan sahaja komposisi melodinya indah, malah liriknya juga sangat mendalam.

"Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang meninggalkan teman lelakinya untuk menjalinkan hubungan  bersama lelaki lain, namun lama kelamaan beliau menyesal atas perbuatannya dan mahu kembali bersama bekas teman lelakinya tetapi segalanya sudah terlambat," katanya kepada Bernama.

Nur Ameera Nabila ditemui selepas menjadi tetamu undangan program 'Nine11' terbitan Bernama News Channel (BNC) hari ini.

Beliau yang amat mengagumi penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bersyukur single pertamanya itu mendapat respons positif daripada para peminat selain video lirik lagu itu telah mencapai tontonan kira-kira 47,000 di YouTube.

Cikgu Meera turut berkata beliau dan Jayy Production sedang merancang untuk menghasilkan video rasmi Oh Sayangku.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara waktu mengajar di sekolah dan nyanyiannya, anak jati Kodiang, Kedah ini menegaskan beliau hanya bernyanyi  pada waktu cuti mingguan dan tetap meletakkan kerjaya sebagai seorang guru sebagai keutamaannya.

"Saya tidak akan mengabaikan kerjaya di sekolah kerana itu merupakan cita-cita saya sejak dahulu lagi, manakala nyanyian hanyalah kareer separuh masa saya untuk mengisi waktu terluang," katanya yang bernyanyi sejak usia remaja lagi.

Beliau juga terharu dengan sokongan padu yang  diberikan rakan-rakan guru termasuk guru besar serta anak-anak muridnya untuk memperkembangkan lagi bakatnya sebagai penyanyi.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.