Berita Terkini
recent

Che Puan Syamim keluar dari zon selesa

BARU mengorak langkah di dalam industri seni selama setahun, Che Puan Syamim Farid terpaksa menghentikan langkah seketika lantaran mendirikan rumah tangga dengan Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari, Mac tahun lalu.

Tugas dan tanggungjawab sebagai isteri membuatkan pemilik nama sebenar Syamim Mohd Farid ini terpaksa melupakan bidang diminati sementara waktu.

Namun selepas setahun setia mengikuti suami ke mana sahaja, naib juara Dewi Remaja 2014/2015 bersedia kembali aktif di dalam bidang seni.

Tidak hanya terhad bidang pengacaraan yang sebelum ini menaikkan namanya, Syamim berkata, sudah tiba masanya dia mencabar diri dan mencuba perkara baru iaitu menguasai bidang lakonan.

Sebagai permulaan, lakonan Syamim kini boleh dilihat menerusi platform digital www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 Oktober, setiap Isnin.

Muncul menerusi drama siri mini Mata Cinta, Syamim membawakan watak antagonis bernama Ejay bersama Che Puan Juliana Evans, Sasha Saidin, Dynas Mokhtar dan bakat baru seperti Julien Buteau, Aush Abdul Wahid, Adery Chin, Peter Shahir dan Tati Ambia.

"Mata Cinta merupakan drama kedua saya bersama Astro dan antara sebab utama saya tertarik menerima tawaran ini adalah kerana saya mahu cabar diri bawa watak antagonis.

"Selain itu, konsep drama ini berbeza di mana ia diinspirasi dari drama Korea juga telah menarik minat saya  turut serta. Malah saya percaya ramai anak muda suka drama Korea kini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Syamim berkata, biarpun mencabar, dia rasa bersyukur apabila pengarah drama ini, Shazreen Fazlynda, berpuas hati dengan persembahannya dan setiap babak lakonannya tidak di ambil berkali-kali.

"Sejujurnya watak Ejay memang mencabar kemampuan saya sebab saya tak pernah bawa watak antagonis.

"Walaupun tak pernah, tapi saya syukur apabila pengarah berpuas hati dengan lakonan saya, bahkan beberapa krew dan Juliana sendiri memuji lakonan saya.

"Tidak hanya perlu membawakan watak jahat semata-mata, saya juga perlu banyak bermain dengan reaksi muka dan ada ketikanya perlu menangis.

"Mujur pengarah dan Juliana sendiri banyak membantu saya menghayati dan menyampaikan watak dengan lebih baik," jelasnya.

Mengakui rindukan dunia pengacaraan, namun Syamim berkata, dia mahu fokus bidang lakonan kerana ia beri peluang buatnya cuba pelbagai watak.

Tambah Syamim, dia juga bersyukur apabila suaminya memahami dan mengizinkannya untuk terus bekerja.

"Tidak dinafikan awal-awal dulu dia agak berat benarkan saya kembali aktif. Tapi lama kelamaan dia memahami dan saya juga akan merujuk dan berbincang dengannya terlebih dahulu jika dapat tawaran.

"Malah dia juga pesan agar saya jaga nama keluarga dan suami," ujarnya yang masih lagi nantikan kehadiran cahaya mata.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.