Berita Terkini
recent

Cara tersendiri 7Nation


Kehadiran banyak band baru sedikit pun tidak menggugat tujuh anak muda yang menggelarkan diri mereka 7Nation.

Tampil dengan konsep unik, kumpulan dianggotai Red One selaku pemain gitar, Fatah (gitar utama), Ujang (caklempong), Azmi (bass), Munir (dram), Khai (perkusi) dan Wan (keyboard/ekordian) itu ada cara tersendiri dalam menyampaikan muzik yang mereka bawa.

Walaupun kurang dikenali dalam dunia komersial, nama 7Nation menjadi sebutan dalam kalangan orang ramai.

Sering menjayakan majlis korporat, kumpulan itu ditubuhkan dua tahun lalu.

Bagi mereka, menyertai bidang seni bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan sebaliknya mahu berkongsi keunikan muzik yang dibawa.

“Lazimnya kumpulan sedia ada menampilkan lagu baru atau mengikut trend tertentu.

“Berbeza dengan kami yang menyampaikan lagu moden dan baru tetapi dalam konsep tradisional atau etnik kontemporari.

“Kami memang mahu tampil berbeza, apatah lagi konsep sebegini jarang dilakukan malah ia kurang dikomersialkan,” kata Red One mewakili rakan.

Selain beraksi pada acara korporat dan keramaian, tujuh anak muda ini ligat mengadakan persembahan jalanan di merata-rata tempat.

“Misi kami adalah menghiburkan orang ramai dan mahu mereka kenal instrumen yang kami gunakan.

“Tidak kisah jika wajah kami kurang dikenali kerana bukan menjual rupa tetapi mahu memperkenalkan muzik yang diperjuangkan,” kata Red One.

Menurut Red One, 7 Nation bukan tidak mahu ada single sendiri tetapi mereka memerlukan masa untuk menarik perhatian masyarakat.

“Insya-Allah kami akan cuba tampil dengan single yang mengetengahkan identiti kami sebagai 7Nation,” kata Red One.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.