Berita Terkini
recent

Bukan sekadar penyanyi, pemuzik

Universal Music Malaysia melangkah setapak lagi apabila mengambil pendekatan berbeza merekrut bakat baru menerusi pertandingan Manhunt Malaysia 2017.

Berkonsepkan ‘male pageant’, program anjuran bersama agensi bakat Beam Artises dari Singapura itu buat pertama kali diadakan di Malaysia.

Bukan sekadar penyanyi atau pemuzik, Universal melihat kepada skop yang lebih besar seperti bakat pengacaraan, lakonan dan pelawak.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura Kenny Ong berkata, pendekatan itu diambil sebagai transisi baru untuk syarikat rakaman itu.

“Bukan saja Universal Music Malaysia tetapi Universal Music seluruh dunia kini bukan sekadar mencari penyanyi semata-mata. Sebaliknya kami ada idea lain untuk mencari bakat yang bukan sekadar boleh menyanyi tetapi mampu membawa pengaruh besar.

“Kami mahukan bakat yang memiliki kualiti seorang bintang. Disebabkan itu, kami sentiasa mencari platform pada satu tahap tertentu dan pertandingan Manhunt Malaysia 2017 adalah yang paling tepat.

“Kami sangat bangga dapat bekerjasama dalam projek ini kerana ia sesuatu yang sangat berbeza,” katanya.

Pertandingan berkenaan yang pertama kali diadakan di Malaysia sebenarnya sudah diadakan sejak 29 tahun lalu di peringkat antarabangsa.

Memartabatkan lelaki sebagai ‘role model’, ia bukan sekadar pencarian lelaki tampan semata-mata.

Menurut Pengarah Kebangsaan Beam Artises Singapura Samuel Seow, pertandingan berkenaan kini diangkat ke tahap lebih tinggi dan bertujuan mencari bintang.

“Tahun depan Manhunt akan meraikan ulang tahun ke-30 dan saya rasa ia masa yang tepat untuk mengadakannya di Malaysia pula. Lagipun, permintaan untuk menganjurkannya di sini sangat tinggi.

“Hala tuju pertandingan ini sudah berubah apabila kami mencari jejaka yang berpotensi menjadi seorang bintang. Bukan sekadar berbadan cantik dan bijak bercakap tetapi lebih daripada itu.

“Perubahan mereka akan dapat disaksikan sendiri pengikut pertandingan ini sejak uji bakat lagi. Banyak aspek dititikberatkan termasuk penjagaan badan, kulit, cara berkomunikasi dan aura itu sendiri,” katanya.

Baru-baru ini, Kenny dan Samuel turut menjadi juri kepada prapenjurian 16 peserta bertanding. Setiap peserta diadili menerusi aspek komunikasi, soal jawab, fizikal dan bakat.

Turut berada di meja juri adalah penyanyi terkenal Ning Baizura dan pemenang Manhunt Singapura 2015 iaitu Fuad Al-Hakim.

Peringkat akhir Manhunt Malaysia bakal berlangsung pada 15 November ini. Pemenangnya juga akan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa pada November nanti di Bangkok, Thailand.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.