Berita Terkini
recent

Bukan sekadar cerita mistik

Peminat program genre mistik tentunya tertarik mengikuti paparan cerita dalam program Detik 12 Malam terbitan TV3.

Selepas dua musim bersiaran, Detik 12 Malam kini kembali dengan musim ketiga yang mula ke udara pada 10 Oktober lalu.

Musim ini adalah kesinambungan kepada musim yang lalu apabila pihak produksi Detik 12 Malam terus mencari dan merungkai beberapa pekerjaan serta aktiviti yang dilakukan pada waktu malam.

Untuk kali ini, Detik 12 Malam yang berdurasi 30 minit disiarkan setiap Selasa jam 11 malam di TV3. Ia menyajikan variasi aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan terutama melewati jam 12 tengah malam.

Penerbit Detik 12 Malam Abdul Ghani Mokhtar berkata, pihaknya tidak mahu masyarakat tersalah anggap bahawa Detik 12 Malam bertujuan merungkai kisah mistik atau hantu semata-mata tetapi skopnya diperluaskan kepada pelbagai isu.


AZMI kekal mengacara Detik 12 Malam.
“Objektif program ini bukanlah untuk mencari makhluk halus atau hantu semata-mata, tapi lebih kepada memberi pendedahan terhadap cabaran dan dugaan pekerjaan yang dilakukan pada waktu malam dari sudut mistik dan misteri di samping merasai sendiri pengalaman mereka melalui pengacara, Azmi Jamsari.

“Konsep dan idea asal program ini masih dikekalkan cuma terdapat beberapa segmen diberikan sentuhan baharu yang pastinya memukau sanubari penonton,” katanya.

Umumnya aktiviti paranormal bukanlah menjadi pilihan orang ramai, namun segelintir peminat aktiviti mistik tetap berani melakukannya kerana mahukan sesuatu yang mencabar adrenalin.

Minggu ini penonton akan dibawa mengikuti kisah berjudul Pemikat Burung Wak-Wak. Jika dilihat secara kasar, burung wak-wak atau nama saintifiknya Amaurornis Phoenicurus tidak jauh berbeza daripada spesis burung lain.

Namun, terdapat pelbagai kisah misteri dalam kalangan pemikat burung wak-wak mengaitkan burung yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 ini.


ANTARA paparan menarik program ini.
Fokus episod ini adalah teknik menangkap burung wak-wak. Difahamkan cara tradisional iaitu meniup seruling khas hanya dilakukan oleh mereka yang pakar kerana tiupan yang sumbang boleh memanggil makhluk halus.

Ini menjadikan aktiviti memikat burung wak-wak sebagai satu misteri dan menyeramkan.

Diharapkan dengan musim baru ini, penonton akan lebih mengetahui dan serba sedikit beroleh ilmu di mana segala apa yang dipaparkan ini berkait rapat dengan ilmu alam. Segala cerita dan pengalaman yang dikongsikan adalah berdasarkan kisah sebenar dan dilakonkan semula bagi memberikan gambaran sebenar situasi dan kejadian yang berlaku.

Baki episod seterusnya selepas ini ialah Pencari Madu Tualang, Kaki Pancing, Penjaga Stadium dan Penjaga Pencawang.

Peminat yang terlepas menyaksikannya di kaca televisyen, boleh menonton melalui saluran alternatif iaitu di www.tonton.com.my.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.