Berita Terkini
recent

Brothers saman penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu

KUMPULAN nasyid Brothers memfailkan saman terhadap penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu iaitu Kay Event Services & Management kerana didakwa gagal melunaskan baki bayaran sebanyak RM37,500.

Brothers hanya menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM12,500 daripada jumlah keseluruhan RM50,000.

Konsert itu diadakan di Istana Budaya selama dua hari pada 7 dan 8 Oktober 2016.

Menurut salah seorang anggota Brothers, Yasin Sulaiman, oleh kerana keengganan penganjur menjelaskan baki bayaran, mereka sudah pun memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 18 September lalu.

Terdahulu Brothers sudah menghantar notis tuntutan kepada penganjur pada 28 Julai 2017 namun tiada maklum balas.

“Sudah setahun malah macam-macam pendekatan diambil agar penganjur melunaskan baki bayaran termasuk berusaha mengadakan pertemuan dan berbincang dengan penganjur.

"Setiap kali minta bayaran, penganjur akan bagi pelbagai alasan. Oleh itu kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur.

"Tindakan ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi membuka jalan kepada orang lain yang turut terbabit dalam penganjuran konsert itu agar mengambil tindakan sama," katanya.

Tegas Yasin lagi, kali terakhir Brothers berhubung dengan penganjur konsert kerohanian itu dua bulan lepas dan sehingga kini terus gagal dihubungi.

Konsert 3 Kejora turut dijaya kumpulan Rabbani dan Hijjaz.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.