Berita Terkini
recent

'Bolehlah untuk terus aktif'

Meskipun masa berlalu, sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham yang diterbitkan pada 1985 tidak pernah jemu ditonton.

Buktinya, banyak pengguna laman sosial Facebook berkongsi pautan sitkom ini yang boleh ditonton di saluran YouTube.

Sitkom ini berjaya mencipta populariti buat Imuda, Allahyarham Zami Ismail (Pak Uda), Allahyarham Muhammad Abdullah (Pak Busu), Wan Maimunah (Mak Busu), Khatijah Tan (Mak Ngah), Sulaiman Yassin (Mat Over), Sabri Yunus (Wan Ismail Golok), Datin Marlia Musa (Ana), Angeline Tan, Accapan dan Sathia.

Kenangan manis ini kekal terpahat di ingatan Imuda atau Abdul Rahim Muda yang masih bergiat aktif dalam seni.

Bagaimanapun, Imuda, 57, mengakui kurangnya tawaran muncul pada program televisyen membuatkan segelintir peminat menyangka dia sudah bersara.

“Tawaran untuk saya boleh dikatakan tak rancak macam dulu, tapi kira bolehlah untuk terus aktif dalam bidang seni.

“Saya masih dapat undangan menyanyi dan mengacara program seperti hari keluarga serta majlis tertutup,” katanya.

Imuda berkata, dia bukan letak harga dalam soal bayaran tetapi akur ini zaman artis generasi baru mengecap populariti dan buat duit.

“Bagi saya, ini lumrah dan mana-mana artis pun pasti akan melaluinya. Apabila umur mencecah 50 tahun, sedikit demi sedikit populariti akan hilang.

“Ketika zaman kegemilangan dulu, jadual saya memang padat dengan pelbagai tawaran. Sekarang program televisyen pun ramai artis generasi baru yang dapat,” katanya.

Kata Imuda, antara drama yang dibintangi seperti Waris Kampung Semarah Padi arahan Melissa Saila yang disiarkan di TV1 dan telefilem Semerah Darah arahan Mamat Khalid untuk Astro.

“Sekurang-kurangnya ini dapat mengubati kerinduan peminat selain memberitahu yang saya masih aktif berlakon.

“Situasi sekarang pun dah tak macam dulu. Bayangkan kalau dulu ditawarkan untuk berlawak atau mengacara, saya akan digandingkan dengan Mat Over atau Angeline Tan. Sekarang saya hanya berseorangan atas alasan kekurangan bajet,” katanya.

Imuda juga pernah tampil dengan single Rilek Brader dan Blues Nasi Kandar berganding bersama Art Fazil.

Aktif lukis komik

Selain memenuhi undangan, Imuda juga masih aktif melukis komik, potret dan karikatur menerusi syarikatnya Imuda Art yang sering terbabit dengan pameran dan karnival besar.

Dia pernah menerbitkan komik ATEE? Kartun Penglipurlara yang mengambil watak Pak Uda sebagai kandungan cerita dan dijual secara online serta langsung kepada pembeli dengan harga RM10.

Imuda juga bahagia bersama keluarga dan paling menggembirakan apabila mendapat anak perempuan, Ryasya Zara pada 23 Julai lalu kerana menjadi cucu perempuan sulung keluarga isterinya, Zabarina Ali.

Ryasya juga anak kedua hasil perkahwinan Imuda dengan Zabarina manakala anak pertama, lelaki yang kini berusia tujuh tahun.

Terdahulu, Imuda mempunyai dua anak dengan bekas isteri pertama yang kini masing-masing berusia 22 dan 16 tahun.

Kata Imuda, dia juga baru kembali ke Kuala Lumpur selepas menetap buat sementara di Pulau Pinang menemani isteri yang menjalani tempoh berpantang di sana.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.