Berita Terkini
recent

Bintang legenda uji kemampuan

Musim keempat Gegar Vaganza 4 (GV4) kali ini lebih menarik apabila membariskan penyanyi yang tidak dijangka akan menyertai program realiti terbitan Astro itu.

Selain penyanyi pengalaman tanah air, GV4 turut disertai dua penyanyi dari negara jiran iaitu Ferhad (Singapura) dan Firman Siagan (Indonesia).

Antara peserta tanah air yang menjadi bualan netizen adalah pelakon Aqasha, pengacara terkenal Raja Azura, penyanyi legenda Aishah dan Haida Hafiz.

Selain itu, barisan penyanyi lain yang turut memeriahkan pentas GV4 ialah Liza Hanim, Syura, Elyana, Tia Jinbara, Hazami dan Lan Kristal.

Ketua Saluran Melayu Astro Raqim Ahmad berkata, Astro sentiasa mencari kelainan bagi menarik minat penonton selain menampakkan GV gah di pentas.

“Pemilihan penyanyi musim ini antara cabaran besar bagi produksi GV. Ada dalam kalangan mereka dalam senarai kami dan pernah dijemput untuk menyertai program ini.

“Setiap peserta mempunyai portfolio seni mengagumkan dalam bidang nyanyian dan pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dulu,” katanya.

Menurut Raqim, GV menyediakan platform kepada penyanyi tanah air, Singapura dan Indonesia untuk terus berkarya.

“Walaupun di peringkat permulaan, jika disusun rapi tidak mustahil jurang pasaran muzik tanah air ke negara jiran boleh dirapatkan. Ini sekali gus mengukuhkan lagi hubungan di antara negara serantau,” katanya.

Musim pertama GV dimenangi Ayai Ilusi, diikuti Siti Nordiana pada musim kedua dan Azharina sebagai juara musim ketiga.

GV4 akan bersiaran bermula 29 Oktober ini secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.

Raja Azura sedia terima kritikan pedas

Pengacara terkenal ini mengambil keputusan menyertai GV kerana sudah 20 tahun meninggalkan bidang nyanyian.

“Saya pernah menjadi pengacara, penyampai radio, pelakon dan juga penyanyi, cuma saya belum merasai pengalaman menjadi peserta program realiti.

“Selain itu, saya juga mahu penonton tahu saya pernah menjadi penyanyi,” katanya.

Pada masa sama, Raja Azura menganggap program realiti itu peluang baik kepadanya untuk menambah pendapatan sampingan.

“Saya selalu diundang sebagai pengacara majlis. Apabila orang ramai tahu saya boleh penyanyi, pasti ada yang menjemput saya membuat persembahan dan mengacara majlis,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi ini memberitahu sudah bersedia menerima kritikan pedas daripada juri tetap Datuk Ramli MS yang juga pengarah muzik terkenal.

“Saya menyertai GV dengan fikiran positif dan ada perancangan untuk memperkenalkan semula lagu dalam album dengn memberi nafas baru, seiring dengan muzik moden,” katanya.

Sebagai persediaan, Raja Azura berkata, dia mengambil kelas vokal dengan Cikgu Shafi.

Raja Azura pernah menghasilkan dua album pada 1996 dan 2006.

Aqasha jadikan GV sebagai batu loncatan

Lebih dikenali sebagai pelakon, mungkin ramai tidak mengetahui Aqasha pernah menyanyi.

“Saya bermula sebagai penyanyi, namun rezeki lebih kepada lakonan. Jadi, pentas GV sebagai batu loncatan untuk mempromosikan saya kepada orang ramai,” katanya.

Lagu terakhirnya Obsesiku pada 2010, Aqasha meluahkan keterujaannya berpeluang berkongsi pentas dengan barisan penyanyi yang sudah menempa nama di tanah air.

“Sejak musim pertama, ada ramai penyanyi yang sudah lama tidak tampil diketengahkan. Mengenai persediaan, saya perlu mempelbagaikan sumber tujukan. Ini kerana kalau dulu, saya lebih kepada muzik pop, rock dan balada.

“Sekarang, saya perlu membiasakan diri dengan muzik asli Melayu, dangdut dan ‘broadway’ kerana semua peserta akan diberi peluang mempersembahkan genre berbeza setiap minggu,” katanya.

Haida bukan nak bersaing

Penyanyi Kekasihku Milik Orang ini menerima panggilan daripada pihak GV selepas membuat persembahan di satu majlis.

“Saya membuat persembahan di majlis seorang rakan baru-baru ini. Secara kebetulan, ada kru GV turut berada di majlis berkenaan.

“Seminggu kemudian, saya dapat panggilan daripada pihak produksi untuk menyertai GV,” katanya.

Memandangkan dia banyak membuat persembahan di belakang tadbir, Haida menganggap tawaran itu peluang baik untuk kembali aktif menyanyi.

“Saya bukan mahu bersaing dengan rakan artis di GV. Cuma, ini peluang baik untuk memberitahu saya masih wujud dalam industri muzik.

Mengulas lanjut, Haida berharap penonton dapat memberi sokongan terhadapnya selain memberi komen membina bagi memperbaiki persembahannya.

“Oleh kerana sudah lama tidak keluar, saya akan menerima baik komen positif mahupun negatif penonton di sosial media,” katanya.

Haida pernah popular menerusi lagu duet bersama kumpulan Senario, Zapin Usik Mengusik.

Tahun lalu, dia melancarkan single Kekasihku Milik Orang di Jakarta dan menerima sambutan hangat pendengar di sana.

Aishah sedia terima kritikan netizen

Penyertaan penyanyi lagenda ini dalam GV4 mengejutkan ramai.

Aishah berkata, keputusannya menyertai program realiti itu bagi mencabar diri menyanyi lagu penyanyi lain di pentas pertandingan.

“Saya ingin memberi fokus sepenuhnya dalam GV kerana sudah lama tidak aktif sebagai penyanyi. Justeru, Saya berharap penyertaan saya ini diterima baik orang ramai dan tidak dikaitkan dengan perkara lain,” katanya.

Menurut Aishah, dia sudah bersedia berdepan tohmahan dan kritikan netizen terhadapnya kerana mengetahui perkara seperti itu sukar dielakkan.

“Bukan semua orang dapat menerima kita dengan baik. Ada orang menasihat supaya jangan baca komen apabila pertandingan bermula nanti,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.