Berita Terkini
recent

Bidang seni medium hiburan, mendidik: Abdul Halim

PERNAH mengecap populariti sebagai penyanyi nasyid, namun tumpuan Dr Abdul Halim Masnan hanya lebih terarah pada tugas hakikinya sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kini, bekas ahli kumpulan Brothers ini merupakan Ketua Jabatan di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Fakulti Pembangunan Manusia di UPSI, sejak tiga tahun lalu.




“Saya mula serius dalam bidang nyanyian nasyid apabila menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Peluang semakin cerah apabila saya kemudiannya ditawarkan menyertai Brothers setelah tamat pengajian.


“Alhamdulillah, walaupun hanya sekejap saya masih dapat mengumpul pengalaman berharga sehingga berpeluang menjayakan persembahan di Singapura,” katanya pada Media Hiburan.

Walaupun tidak lagi bergelar penyanyi, Abdul Halim bagaimanapun mengimplementasikan bidang seni menerusi teori bermain dan belajar sebagai medium memberi hiburan sekali gus mendidik.

“Saya ada tubuhkan dua kumpulan nasyid iaitu Lolipop Buskers dan Mualim Buskers.


“Sasaran saya adalah kelompok kanak-kanak bagi menyampaikan bait-bait keindahan Islam dalam lirik yang disampaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bidang seni terutama nasyid dilihat sebagai satu kaedah untuk mendidik secara menyeronokkan terutama melalui lirik yang diingati dan dihafal.

Secara tidak langsung, katanya, ia berupaya merangsang kehidupan sosial yang berkualiti sekali gus memberi keyakinan berhadapan dengan masyarakat.

“Saya merujuk kepada kejayaan kumpulan nasyid Raihan menerusi lagu seperti 25 Rasul, Puji-Pujian, Sifat 20, Iman Mutiara manakala In-Team melalui lagu Nur Kasih dan Impian Kasih.

“Ternyata, lagu-lagu ini amat disukai kanak-kanak sehingga menjadi medium pendidikan asas Islam kepada kanak-kanak.

“Lagipun, zaman kanak-kanak meriah dengan pelbagai pengalaman dan kenangan yang menjadi memori manis sepanjang hidup,” katanya.

Kelebihan positif

Tambah Abdul Halim, dunia seni mempunyai pelbagai kelebihan positif terutama apabila melibatkan kanak-kanak.

Jelasnya, bidang ini mampu merangsang kemahiran dan kreativiti yang tinggi selain menjanjikan kerjaya yang terjamin dan lumayan.

“Hasil pengalaman, saya sendiri selitkan seni muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya jadikan seni muzik sebagai medium pendidikan yang menghiburkan, menggalakkan keberanian berhadapan di atas pentas serta membina karakter positif.

“Selain itu, medium media sosial turut berkuasa buat golongan muda untuk menerima maklumat,” katanya.


Sehubungan itu, Abdul Halim menggesa agar usaha terus dipergiatkan lagi agar masyarakat terus memandang tinggi kepada bidang seni dan pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya harap agar persepsi yang melihat bidang ini sebagai kelas ketiga perlu dihapuskan kerana kanak-kanak dan seni mempunyai kaitan yang holistik dari segi emosi, akhlak dan fizikal seterusnya membantu membentuk kejayaan.

“Saya harap dapat mencungkil bakat terpendam dalam setiap pelajar seperti tarian, lakonan, nyanyian, fotografi atau apa-apa saja asalkan mampu menarik minat pelajar terhadap pembelajaran.

“Bagi saya, teori belajar sambil bermain adalah kaedah pembelajaran yang paling berkesan namun ibu-bapa juga seharusnya memainkan peranan penting kerana segala-galanya perlu bermula dari rumah,” katanya menjadikan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai idolanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.