Berita Terkini
recent

Belajar lenggok dangdut asli

Dia tidak pernah menyanyikan lagu dangdut asli, tetapi demi menyahut cabaran sebagai peserta program D’Academy Asia 3 di Jakarta, Indonesia yang akan bermula pada 23 Oktober ini, Baby Shima, 25, mengambil inisiatif belajar menyanyikan lagu itu dengan lenggok yang betul.

Shima ketika ditemui baru-baru ini berkata, selepas mendapat tahu antara penyanyi yang terpilih untuk beradu suara dalam pertandingan itu, dia terus belajar vokal dengan komposer Azmeer.

“Walaupun saya sudah lama menyanyi dan kini sedang mengembangkan kerjaya nyanyian di Indonesia, menyertai pertandingan adalah perkara berbeza. Ini kerana ada juri yang akan menghakimi nyanyian saya.

“Ketika itulah kita akan tahu kelebihan dan kekurangan diri serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di pentas. Juri pula bukan calang-calang dan mungkin waktu itu juga kita akan tahu sama ada teknik nyanyian kita betul atau salah,” katanya.

Shima mengakui dia berdebar, namun tidak mahu terlalu memikirkan kemenangan kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman yang bakal diperoleh nanti. Sekiranya saya berjaya sehingga ke peringkat akhir, ia akan jadi saat yang sangat indah,” katanya.

Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, sebagai memenuhi syarat pertandingan itu dia perlu mengalunkan lagu dangdut mengikut lenggok asli yang betul.

“Patah lagu kena betul, ia bukan sekadar menyanyi begitu saja. Memang ketika membuat persembahan di sana, saya ada menyanyikan lagu dangdut, tetapi versi dangdut moden.

“Saya berharap menerusi pertandingan itu, saya dapat mengukuhkan lagi nama di sana,” katanya.

Selain itu, Shima turut mendapat tawaran kontrak dengan syarikat penerbitan Nagaswara selama tiga tahun.

“Sudah enam bulan saya bersama mereka. Saya selesa bekerjasama dengan Nagaswara dan mereka juga tidak pilih kasih. Ramai artis popular Indonesia di bawah Nagaswara dan kami semua dilayan sama rata.

“Ketika membuat persembahan di sana, orang ramai yang membanjiri tempat persembahan tidak pernah membangkitkan isu artis dari negara mana kerana mereka datang mahu berhibur, “ katanya.

Makan Hati juara carta

Shima kini sedang mempromosikan single terbarunya berjudul Makan Hati dan lagu itu berjaya menjuarai carta di kebanyakan stesen radio di Indonesia.

Walaupun semakin diterima di sana, dia tetap rindukan tanah air. Hampir setiap bulan dia pulang ke Kuala Lumpur kerana selain masih menerima undangan menyanyi di sini, Shima juga rindukan makanan tempatan.

“Saya tak akan tinggalkan terus kerjaya nyanyian di Kuala Lumpur. Ke mana pun pergi, saya tak akan lupakan asal-usul. Saya cukup terharu apabila pengurusan Nagaswara menghargai bakat seni yang ada pada saya,” katanya.

Walaupun menu di Indonesia tidak kurang enaknya, Shima tetap merindui sambal belacan dan hidangan lain di negara sendiri.

“Apabila pulang ke Kuala Lumpur, saya akan makan segala yang saya teringin. Apatah lagi jika berkesempatan pulang ke kampung di Johor Bahru. Dah macam orang mengidam, semua benda nak makan,” katanya.

Shima akan ke Jakarta, Ahad ini untuk membuat persediaan ke D’Academi Asia 3 serta memenuhi undangan persembahan di sana.
Powered by Blogger.