Berita Terkini
recent

Bekas model, pelakon sambilan ditahan 'lalok'

 Seorang wanita yang dikatakan bekas pelakon sambilan dan model ditahan anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok dalam keadaan tanpa pakaian di kediaman keluarganya di Kampung Gunong semalam.

Wanita yang juga seorang janda berusia 32 tahun itu dipercayai masih 'lalok' selepas mengambil pil kuda.

Ketua Pegawai AADK Bachok, Rusdi Yusof berkata, wanita itu yang pernah bekerja sebagai model dan pelakon mengaku telah menagih dadah ketika berusia 18 tahun.

"Ketika ditahan suspek berada keadaan tanpa pakaian dipercayai dalam keadaan lalok selepas mengambil dadah.


"Dia mengakui terjebak dengan dadah jenis syabu ketika di Kuala Lumpur namun kini tak mampu lagi membeli syabu menyebabkan dia berubah arah kepada pil kuda," katanya selepas menahan 30 orang yang disyaki penagih dadah dalam operasi khas di Kampung Gunung, Beris Kubur Besar dan Tawang.

Semua suspek berusia di antara 16 hingga 46 tahun dicekup lokasi tertentu dan juga serbuan dari rumah ke rumah yang turut membabitkan Orang Dalam Pengawasan yang dikenal pasti engkar perintah melaporkan diri mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, operasi dijalankan pada pukul 6 petang dan berakhir pada pukul 8 pagi semalam itu berjaya mengesan 20 penagih dadah yang positif pil kuda dan morfin selepas ujian saringan ujian urin dijalankan.

Selain itu, Rusdi berkata, dalam operasi yang sama juga seorang 'tokan' dadah berusia 46 tahun turut ditahan di Kampung Padang Bual, Beris.

Suspek yang memang menjadi buruan polis itu sudah bertahun menjalankan aktiviti liciknya di sekitar daerah ini.

"Suspek sanggup menjual separuh daripada pil kuda dengan harga mampu milik iaitu RM5 untuk memenuhi kehendak penagih yang kurang berkemampuan. Kami tahan dia bersama beberapa penagih lain yang sedang melepaskan gian dan berjaya merampas bekalan pil kuda serta morfin di lokasi berkenaan," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.