Berita Terkini
recent

Bagai bulan jatuh ke riba!

Teruja diberi peluang mengadakan persembahan sempena Asean India Music Festival 2017, Cherpen Band berharap ia jadi permulaan yang baik untuk melangkah lebih jauh.

Mewakili pemuzik dari Malaysia, kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu terbang ke New Delhi pada 5 Oktober lalu selama empat hari.


Bagi Nemo yang bertindak selaku vokalis, Kimie (dram), Syahir (gitar) dan Arif (bass) peluang ini sudah lama mereka nantikan. Ia boleh diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba dan sangat bermakna.

“Walaupun masih baru dalam bidang ini, kami berpeluang mendedahkan bakat di luar negara.

“Di situ, tidak hanya kami, malah ada 10 lagi dari negara Asia lain yang turut membuat persembahan dan pastinya ia satu penghargaan buat kami semua,” kata Nemo mewakili temannya.

Pada festival itu mereka mempersembahkan lima lagu antaranya Kali Ini, Potret dan Obses nyanyian asal Akim & The Majistret.

Mereka turut menyampaikan single ketiga yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul Pasti ciptaan Hang Nadim dan Afiez The Majistret.

“Kegembiraan kami berganda apabila dapat mempersembahkan lagu Pasti buat pertama kalinya di depan khalayak. Insya-Allah sekembalinya ke tanah air kami akan melancarkan lagu ini,” katanya.

Jika single mereka berjudul Kali Ini pernah menjadi lagu tema drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz, single Pasti juga turut bertuah apabila terpilih menghiasi drama Kekasih Paksa Rela yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

“Syukur, single ketiga kami sekali lagi menjadi lagu tema drama. Kami tidak kisah jika semua single yang kami hasilkan menjadi lagu tema drama.

“Secara tidak langsung ia membantu mempromosikan lagu itu dan Cherpen Band,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.