Berita Terkini
recent

Baca komik kenali watak

Aktor kacak Jepun, Masataka Kubota, 29, muncul dengan filem baru, Tokyo Ghoul yang diangkat daripada komik popular di negara itu dengan judul yang sama.

Pernah berlakon dalam drama Death Note memegang watak Light Yagami, Masataka melalui proses sama apabila ditawarkan berlakon dalam Tokyo Ghoul.

Katanya, Tokyo Ghoul adalah cerita fantasi yang awalnya dihasilkan sebagai komik oleh Sui Ishida kemudian kisah itu dijadikan drama bersiri dan mendapat maklum balas positif daripada golongan muda.

“Sebaik saja ditawarkan watak sebagai Kaneki, saya mula cari siri komik Tokyo Ghoul dan membaca serta memahami karakter watak utama itu. Saya cuba menyelami perasaan dan situasi yang dihadapinya.

“Selepas habis membaca setiap siri dan menonton episod animasinya, saya faham kenapa sangat ramai remaja dan belia meminati cerita itu. Jalan cerita yang ditonjolkan itu memenuhi selera anak muda,” katanya.

Sepertimana peminat meletakkan rasa sayang mereka pada Tokyo Ghoul, begitu jugalah dengan Masataka malah pengarah dan kru sepanjang penggambaran.

Mereka bertungkus-lumus agar filem itu diterima dan disukai penyokong cerita berkenaan. Mereka tidak melakukan kerja asal boleh hanya kerana yakin peminat akan datang ke pawagam menonton filem terbabit.

Kata Masataka, apabila sesebuah filem itu diadaptasi sama ada daripada komik atau pun animasi bersiri, sudah pasti ia sudah mengumpul kelompok peminat tersendiri.

“Saya percaya peminat Tokyo Ghoul tidak hanya di Jepun, juga di negara lain. Golongan inilah individu pertama yang akan gembira apabila cerita kegemaran mereka dijadikan filem.

“Tentu mereka tidak melepaskan peluang untuk menontonnya dalam bentuk filem. Bagaimanapun, ia bukanlah situasi yang kami boleh pandang ringan.

“Sudah pasti mereka meletakkan harapan yang tinggi. Kami harus memberikan kepuasan kepada penonton menerusi lakonan kami,” katanya.

Memegang watak Kaneki, karakter itu adalah kacukan puak Goole (pemakan manusia) dan manusia. Dalam filem itu, Masataka turut memakai topeng yang menutup sebahagian wajah dengan menampakkan matanya.

Masataka akui pengarah Tokyo Ghoul, Kentaro Hagiwara sangat teliti dari segi pakaian serta peralatan yang digunakan setiap watak dalam filem berkenaan.

Katanya, dia sendiri memakai topeng yang dijahit perak berbentuk gigi pada bahagian mulut.

“Kentaro sangat teliti dari segi penggunaan peralatan dan pakaian untuk sesuai dengan karakter. Pada masa sama, dia inginkan pelakon selesa dengan kostum yang disediakan.

“Topeng yang saya pakai mempunyai beberapa siri prototaip. Pereka kostum membuat topeng itu mengikut saiz dan bentuk muka saya.

“Ia selesa tetapi gigi perak yang dijahit pada topeng itu menyebabkan ia berat. Seharian berlakon dengan topeng membuatkan rahang saya sakit. Namun itu adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu saya lalui,” katanya.

Dari awal apabila diumumkan memegang watak utama dalam filem itu, ramai netizen membandingkan dirinya dengan karakter digambarkan dalam komik Tokyo Ghoul.

Dalam hal ini Masataka terima kritikan mereka dengan hati terbuka. Katanya, tiada siapa yang dapat menghalang mereka berfikiran bahawa dirinya tidak sesuai melakonkan watak itu.

“Saya hanya menerima tawaran diberi dan sedaya upaya membawa watak itu dengan baik. Apapun, saya langsung tidak membaca komen seperti itu dan tidak mahu melayan tanggapan mereka kerana filem belum lagi ditayangkan.

“Biarlah penilaian itu diperkatakan selepas mereka menonton. Saya tidak kesah dengan apa pun kritikan mereka kerana saya tidak dapat puaskan hati semua orang. Terpulang pada mereka sama ada akan pergi menonton filem ini atau sebaliknya,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.