Berita Terkini
recent

Ayah ke tandas, anak dilarikan penyamun

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun nyaris dilarikan penjenayah, apabila bapa mangsa singgah di stesen minyak di Tanah Merah untuk ke tandas.

Bagaimana pun, kanak-kanak itu terselamat selepas ditinggalkan berdekatan lokasi kejadian, sebelum penjenayah melarikan kereta milik lelaki berusia 33 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada jam 7.45 pagi semalam, ketika bapa mangsa berhenti seketika di belakang stesen minyak itu dengan meninggalkan anaknya dalam kereta yang tidak berkunci serta enjin tidak dimatikan.

“Selepas kira-kira lima minit, lelaki itu keluar dari tandas dan mendapati kereta jenis Honda Civic miliknya dilarikan, ketika itu dia ternampak anaknya berada tidak jauh dari stesen minyak itu menangis, beberapa meter dari lokasi kejadian,” katanya.


Menurutnya, lelaki itu kehilangan sebuah komputer riba, wang tunai RM1,000 dan dokumen peribadi yang ditinggalkan dalam kereta, dengan jumlah kerugian bernilai kira-kira RM80,000.

“Hasil pemerhatian melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tiga suspek yang menaiki kereta Proton Wira berwarna hitam berhenti untuk mengisi minyak, kemudian salah seorang suspek pergi ke tandas di belakang stesen itu,” katanya.

Mohd Ismail berkata, selepas suspek meninjau kawasan sekitar, suspek masuk ke dalam kereta mangsa dan melarikan kenderaan itu.

“Dua lagi rakan suspek dalam Proton Wira dilihat menyusul di belakang kereta yang dilarikan suspek, sebelum mereka meninggalkan kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati Proton Wira dinaiki tiga penjenayah itu adalah kereta yang dilaporkan hilang di Pendang.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dilakukan,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.