Berita Terkini
recent

Anggota XPDC, peminat jangan bergaduh!

KEMELUT terbaru membabitkan dua kumpulan XPDC berkaitan kontrak mereka dengan Life Records sekali lagi mendapat perhatian syarikat rakaman itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Zua mengeluarkan kenyataan bahawa keengganan Izo memberikan kerjasama menandatangani surat yang dikeluarkan oleh Life Records membuatkan kedudukan kumpulannya terumbang ambing.

Life Records yang mengeluarkan album XPDC sejak album pertama berjudul Darjah Satu, tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga mencetuskan perbalahan diantara anggota XPDC serta penyokong mereka.

Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin berkata, pihaknya pernah menyelesaikan konflik pengunaan nama XPDC yang digunakan oleh dua anggota berasingan kumpulan berkenaan.

"Kami benarkan mereka menggunakan nama XPDC untuk terbabit dengan mana-mana persembahan dan ia perlu diuruskan penganjur, bukan anggota XPDC.

"Kami juga tidak menghalang anggota kumpulan menggunakan nama XPDC, tetapi penganjur persembahan perlu menulis surat dan meminta kebenaran kami untuk menggunakan nama dan logo XPDC kerana ia milik Life Records," katanya.

Menurutnya, isu yang berlarutan selama hampir dua tahun ini diselesaikan apabila Life Records mengeluarkan surat untuk membebaskan XPDC daripada kontrak rakaman.

"Seboleh mungkin kami cuba untuk berlaku adil terhadap dua XPDC ini. Surat itu menjelaskan berkenaan tanggungjawab Life Records sebagai syarikat rakaman terhadap album mereka.

"Manakala anggota XPDC pula sudah menunaikan komitmen mereka dengan baik terhadap kami. Kami tidak menjaga pengurusan mereka tetapi nama dan logo XPDC dipaten Life Records sejak 1 Julai 1998," katanya.

Osman berkata, surat itu menjelaskan sesiapa yang menurunkan tandatangan dikira sudah bebas daripada Life Records.

"Zua, Mael dan Amy sudah bebas untuk bergerak sendiri dan tidak perlu menunggu tandatangan Izo. Kami juga sudah sempurnakan janji kepada mereka.

"Mereka masih berhutang dengan Life Records tetapi kami percaya dengan koleksi rakaman yang ada dalam simpanan kami yang boleh digunakan semula nanti, ia boleh melunaskan hutang ini," katanya.

Berkenaan penggunaan nama XPDC oleh mereka, Life Records memberikan kebenaran dengan terma tertentu.

"Nama bukan masalah sangat tetapi logo itu perlu diambil kira kerana ada akta sendiri. Mereka boleh mengubah tetapi perlu merujuk kepada kami juga.

"Apapun kami sangat fleksibel dan apa yang boleh dibantu kami akan bantu. Mereka sudah bertahun dengan kami dan saling memberikan keuntungan antara satu sama lain, takkanlah kami nak berkira," katanya.

Menurut Osman, pihaknya tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan Zua dan kumpulannya pada masa akan datang.

"Kami sentiasa mengalu-alukan jika mereka berminat. Saya selalu bagi kata-kata semangat buat mereka kerana faham mereka nak cari rezeki untuk keluarga.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.