Berita Terkini
recent

Amelina puas hati

Ratu dangdut, Amelina meluahkan rasa puas hati selepas berjaya mengadakan persembahan pada acara Live Showcase Amelina sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun persembahan itu sedikit terganggu kerana masalah audio, Amelina menyifatkan ia masalah teknikal yang berlaku dalam apa jua acara.

“Apa saya boleh katakan persembahan ini satu percubaan berani mati. Persediaan dibuat dalam tempoh kurang sebulan. Kebiasaannya sesebuah persembahan berkonsepkan konsert mengambil masa tiga bulan.

“Jadi, jika terdapat masalah dan gangguan teknikal sepanjang persembahan, saya memohon maaf. Disebabkan itu saya cuba tutup masalah berkenaan dengan berkomunikasi kepada penonton dan pergi ke setiap meja.



“Namun, secara keseluruhan saya berpuas hati. Malah penonton juga memberikan maklum balas baik. Mereka sangat ‘sporting’ terutama jika diminta menyanyi dan bergelek bersama,” katanya.

Amelina yang popular dengan lagu Rindu berkata, ini adalah persembahan besar pertamanya sepanjang 20 tahun dalam industri muzik.

“Ketika masih aktif menyanyi, saya tidak diberi peluang mengadakan persembahan. Jadi apabila tawaran ini diberikan, saya sangat terharu dan bangga. Apatah lagi saya persembahan ini menjual nama saya. Sedikit sebanyak saya berasa satu beban dan tanggungjawab besar.

“Lagipun, selepas membuat kemunculan semula sejak tiga tahun lalu, saya bermula dari kosong. Saya kembalikan semula keyakinan peminat dan pihak media bahawa masih boleh menyanyi walaupun menyepi selama 15 tahun.

“Paling penting, saya ingin buktikan kepada semua orang irama dangdut masih digemari dan menjadi pilihan peminat,” katanya.

Sepanjang hampir empat jam persembahan yang membabitkan dua segmen, Amelina menyanyikan 14 lagu popularnya termasuk dua lagu daripada penyanyi dangdut Indonesia.

Pujian wajar diberikan kepada Amelina kerana dia berjaya menghiburkan tetamu dengan kawalan suara dan persembahan bertenaga.

“Kehadiran dan sokongan peminat pada persembahan ini adalah kekuatan saya. Apabila berada atas pentas saya perlu lupakan semua masalah. Dalam fikiran saya adalah ingin memberikan persembahan terbaik dan menghiburkan mereka.

“Bagi saya duit jatuh nombor dua, sebaliknya kepuasan penonton perlu diutamakan. Saya percaya mereka yang hadir dan membeli meja ingin menyaksikan persembahan,” katanya.

Menurut Amelina semua lagu yang dinyanyikan adalah pilihan terbaik daripada tiga album yang pernah dihasilkan.

Pada masa sama, Amelina turut memasang impian mengadakan persembahan di tempat lebih besar dan berprestij seperti Istana Budaya.

“Apabila saya menyatakan hasrat membuat kemunculan semula, banyak persoal adakah masih mampu menyanyi atau tidak. Jadi, saya berharap persembahan ini dapat membuka mata dan ruang untuk ke pentas lebih besar.

“Saya menyanyi bukan sekadar suka-suka. Bidang ini adalah minat saya sejak dulu. Jika menjayakan sebarang persembahan, bermakna saya serius dalam bidang ini.

“Sekiranya selepas ini mendapat sokongan pihak lain untuk beraksi di tempat lain pula, saya sedia menyahut cabaran,” katanya.

Tegur peminat

Dalam perkembangan lain, Amelina mengambil pendekatan menegur peminat yang bersikap kurang ajar di laman sosial Instagram miliknya dengan menghantar mesej secara terus ke akaun mereka.

Amelina berkata, tindakan itu bukan atas tujuan menyerang, sebaliknya ingin menegur dan menasihat atas komen keterlaluan yang ditinggalkan.

“Saya bukan jenis marah sesuka hati. Saya tegur kerana berasakan komen mereka sangat keterlaluan. Disebabkan seorang yang komen negatif, banyak pengikut lain buat perkara sama.

“Cara terbaik saya menghantar mesej secara peribadi. Kalau tidak ditegur, nanti semakin menjadi-jadi. Lagipun, apa saya lakukan bertujuan baik iaitu memberi nasihat.

“Alhamdulillah, mereka boleh terima teguran saya dan meminta maaf,” katanya.

Menurut Amelina, teguran dibuat bukan kepada golongan remaja saja, tetapi juga orang dewasa, malah ada yang lebih tua daripadanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.