Berita Terkini
recent

Akhirnya dia pergi jua...

Selepas hampir 24 jam bertarung nyawa, seorang kanak-kanak yang kritikal akibat kemalangan di kilometer 16, Jalan Marang ke Wakaf Tapai di sini, meninggal dunia pagi semalam.

Nur Dayana Batrisya Shahrul Azman, 4, dari Tanjong Belur, Pengkalan Berangan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 pagi pada Khamis itu, mangsa bersama Selamah Abdullah, 80, berjalan kaki di kaki lima jalan dengan melawan arus dari arah Wakaf Tapai menuju ke arah Marang.


Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah Marang menuju ke arah Wakaf Tapai yang melalui jalan sama terbabas ke kaki lima jalan lalu melanggar mangsa dan wanita malang dipercayai neneknya.


Kedua-dua mangsa yang dilanggar itu kemudianya tercampak dan terpelosok ke dalam longkang dekat dengan lokasi kejadian sebelum kedua-duanya dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan.

Akibat kemalangan itu, Nur Dayana Batrisya dan Selamah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala namun Nur Dayana Batrisya disahkan meninggal dunia selepas hampir 24 jam menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi pada Jumaat semasa mendapatkan rawatan.

"Jenazah mangsa kemudian dituntut oleh keluarga mangsa untuk urusan pengebumian dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.