Berita Terkini
recent

Ajal di seberang Thailand

 "Kami tak tahu dia pergi Thailand malam tadi, biasanya dia kalau nak ke seberang Thailand dia pergi waktu siang," kata Wan Rokiah Wan  Hussien, 55.

Wan Rokiah merupakan kakak kepada rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain Wan Hussien, 46, yang maut terkena tembakan di Che He, Tak Bai jam 10.30 malam waktu tempatan.

Wan Rokiah berkata, dia mengetahui berita kematian adiknya kira-kira jam 12 malam selepas seorang kawan arwah datang ke rumah di kampung Ketil memaklumkan musibah itu.


"Kami ada diberitahu kawannya, arwah ke seberang malam tadi sekadar keluar berjalan-jalan di sana.

"Kebetulan semalam dia cuti, adik saya tukang masak di sebuah restoran di Pengkalan Kubor ini," katanya.

Sekitar jam 9.30 malam, ada saudaranya terserempak dengan allahyarham di sebuah kedai makan berdekatan Kampung Ketil.


Allahyarham Wan Mohd Zain merupakan duda anak empat terkena tembakan yang dilepaskan beberapa orang lelaki yang lengkap bersenjata api menaiki kereta pacuan empat di Kampung Che He, Tak Bai.

Tembakan dilepaskan kepada pegawai polis di sekatan jalanraya di Kampung Cek He Takbai tetapi terkena mangsa yang kebetulan berada di situ apabila motosikal tambang yang dinaiki berhenti untuk pemeriksaan polis.

Ketika polis memasuki kawasan tersebut untuk memberi bantuan tiba-tiba sebutir bom yang diletakkan kira-kira satu kilometer meletup.

Sementara itu abangnya, Wan Pa berkata, ahli keluarga sudah ke Thailand untuk membawa pulang jenazah adiknya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil.

"Jenazah dibawa ke Hospital Narathiwat untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian," katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.