Berita Terkini
recent

50 Penonton Terbunuh di Festival Muzik Country Las Vegas Strip

Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 400 lagi di sebuah festival muzik Country di Las Vegas Strip malam kelmarin.

Penyerang melepaskan tembakan dari sebuah tingkap di tingkat 32 Hotel Mandalay Bay selama beberapa minit sebelum bertindak membunuh diri.

Angka kematian tersebut menjadikan serangan kelmarin paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) dan lebih dahsyat daripada pembunuhan 49 orang di sebuah kelab malam di Orlando pada tahun 2016.

Beribu-ribu pengunjung yang panik bertempiaran menyelamatkan diri dan mencetuskan insiden rempuhan.

Polis mengenal pasti penyerang sebagai penduduk setempat, Stephen Paddock, 64, tetapi berkata, motif serangan belum diketahui.

“Kami tidak tahu motif tindakannya tetapi buat masa ini, kami percaya dia bertindak bersendirian. Dia tiada hubungan dengan mana-mana kumpulan militan.

“Kami juga menemui pelbagai senjata api di bilik hotelnya,” kata Syerif Daerah Clark, Joseph Lombardo kepada pemberita.

Pihak berkuasa juga berjaya mengesan teman wanita Paddock yang dikenali sebagai Marilou Danley. Namun, Lombardo enggan mengulas sama ada wanita itu dianggap sebagai suspek.

Kasino, kelab malam dan pusat beli-belah di Las Vegas menarik kunjungan kira-kira 3.5 juta pelancong dari seluruh dunia pada setiap tahun.

Kawasan Las Vegas Strip sarat dengan pengunjung apabila serangan berlaku sejurus selepas pukul 10 malam (waktu tempatan).

Seorang penasihat kewangan dari Philadelphia, Mike McGarry, 53, berkata, dia berada di konsert itu apabila terdengar beratus-ratus das tembakan dilepaskan.

“Saya meniarap di atas anak-anak saya untuk melindungi mereka,” kata Gary.

Insiden tembakan itu tercetus pada malam terakhir festival Route 91 Harvest yang dihadiri 20,000 peminat dan menampilkan artis irama Country popular seperti Eric Church, Sam Hunt and Jason Aldean.

Sementara itu, Wisma Putra menyatakan tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera atau terbunuh dalam serangan tersebut.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.