Berita Terkini
recent

14 Tahun Tak Ada Anak? Tak Sensitif Pun - Mark Adam

PENYANYI Mark Adam tidak pernah berasa sedih ataupun rimas setiap kali menjawab pertanyaan mengenai zuriat semenjak dia mendirikan rumah tangga 14 tahun lalu.

Mark atau Fikri Mark Adam, 38, berkata dia menganggap soalan tersebut tidak sensitif kerana peminat ingin tahu tentang kehidupannya.

"Saya tak sedih atau rimas bila tiap kali nak kena jawab soalan yang sama tentang zuriat.

"Bagi saya, soalan itu bukanlah sensitif pun sebab memang peminat nak tahu perjalanan hidup saya macam mana.

"Tapi jawapan saya untuk pertanyaan itu tetap sama, kami masih berusaha dan tak pernah berputus asa," kata Mark .

Mark ditemui ketika majlis kejutan hari lahirnya yang ke-38 di De' Laman Event Space, Shah Alam pada Sabtu.

Tambah Mark, dia dan isteri tidak merancang untuk mengambil anak angkat namun tidak menolak berbuat demikian pada masa akan datang.

Kata Mark, buat masa ini dia lebih mengutamakan isteri, keluarga di Filipina dan kerjaya serta pusat latihan vokal Suara Akademik yang dibuka pada Januari lalu.

"Kami tidak ada perancangan untuk ambil anak angkat buat masa ini. Mungkin kalau tak ada halangan atau masalah, Insya-Allah akan difikirkan kemudian.

"Biarlah sekarang saya fokus kepada isteri, keluarga saya di Filipina, kerjaya dan pusat latihan vokal Akademik Suara," ujarnya.

Selain Mark, antara artis yang menjadi tenaga pengajar di akademi berkenaan ialah Amir Jahari, Ewal dan Adeep Nahar.

Dalam pada itu, Mark meluahkan rasa gembira dengan kejutan majlis sambutan hari lahirnya oleh kelab peminat.

Katanya, ini merupakan kali pertama ia disambut dengan meriah oleh peminat dan rakan terdekat.
"Saya sangat gembira dan tak sangka peminat adakan majlis kejutan hari lahir saya.
"Sebelum ini saya tak pernah diraikan dengan majlis yang meriah macam ini. Selalu hanya sambut dengan isteri atau rakan-rakan terdekat," katanya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Sabtu.


Powered by Blogger.