Berita Terkini
recent

Zoey jadi hero lagi

Di kala segelintir pelakon bersikap memilih untuk bekerjasama dengan pengarah, tetapi tidak buat Zoey Rahman, 31.

Zoey yang kini aktif berlakon dan mengacara sibuk di lokasi penggambaran filem terbarunya, Awang Gerudi arahan sutradara senior, Z Lokman.

Mendapat kepercayaan melakonkan watak utama, Zoey berkata, ia karya kedua dia menjadi hero selepas filem Aku Haus Darahmu.

Mengulas watak Awang dilakonkan, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, ia karakter berbaur komedi.

“Rasanya ini percubaan berani saya menyahut cabaran membintangi filem genre komedi dan lucu. Ia bukan perkara mudah tetapi dengan pengalaman pengarah seperti Z Lokman memang banyak membantu.

“Apatah lagi bekerja dengan pengarah senior juga mudah kerana dia memberi saya kebebasan dalam berlakon.

“Terpulang juga kepada saya bagaimana mahu merealisasikan watak Awang itu seperti diinginkan pengarah,” katanya.

Zoey juga tidak pernah memikirkan kebimbangan filem dibintangi gagal memikat penonton apabila ditayangkan. Baginya, segala-galanya pilihan penonton dan sebagai pelakon dia buat yang terbaik.

“Saya sudah sedaya-upaya berusaha mempersembahkan lakonan yang mantap. Apapun, kehendak penonton sukar diduga. Apa yang penting, harapan saya filem Awang Gerudi akan berjaya,” katanya.

Mengulas filem Aku Haus Darahmu lakonannya gagal mencatat kutipan tinggi ketika ditayangkan di pawagam, Zoey berkata, dia tidak pernah berasa kesal.

“Sebagai penggiat seni, saya tidak boleh cepat berasa kesal dan kecewa hanya disebabkan filem tidak laku di pawagam.

“Untuk menjawab persoalan mengenai filem tidak laku ini, sebenarnya jika diteliti berkait rapat dengan beberapa faktor.

“Antaranya kurang promosi dan publisiti daripada pihak produksi termasuk kemungkinan genre dipilih tidak menepati cita rasa penonton,” katanya.

Selain Zoey, filem Awang Gerudi turut dibintangi Ika Nabila, Aprena Manrose, Abon, Mustapha Kamal dan Zarina Zainuddin.

Mengakui dia seorang yang tidak suka menolak rezeki, Zoey berkata, setiap pengarah pasti ada kelebihan masing-masing.

“Saya sudi terima tawaran berlakon filem Awang Gerudi ini kerana mahu timba pengalaman bekerja dengan Z Lokman.

“Selama ini, saya hanya pernah dengar dan tahu mengenai nama Z Lokman tetapi tidak pernah mengenali beliau secara dekat.

“Apatah lagi melihat cara beliau bekerja untuk menghasilkan sesuatu filem. Apa pun, saya seronok bekerja dengan Z Lokman,” katanya.

Berbicara mengenai produk drama terbaru, Zoey berkata, dia baru selesai penggambaran drama Ana Cleopatrina untuk Hypp TV yang akan disiarkan November nanti.

Turut bersikap terbuka mengulas persahabatan rapatnya dengan penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 32, anak jati Terengganu ini berkata, mereka dalam perancangan digandingkan berlakon bersama.

“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan hubungan persahabatan kami. Kalau ada rezeki, saya dan Nana akan berlakon bersama dalam drama.

“Tidak dinafikan, saya teruja mahu berlakon dengan Nana kerana persahabatan kami pun sudah lama. Saya dan Nana berkawan baik sejak kami remaja dan saya pun banyak muncul dalam muzik video lagu popular Nana dahulu,” katanya.

Mengakui tidak sedikit pun menumpang populariti Nana, pengacara program Gerak Geri Gasing yang berwajah ‘jambu’ ini berkata, tiada ada apa perlu dikaitkan menjadi isu.

Selain berlakon bersama, Zoey dan Nana juga khabarnya akan berangkat ke Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah pada Disember nanti.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.