Berita Terkini
recent

Yakin tanpa solekan

Aktres jelita Nina Dobrev, 28, sering tampil menawan walaupun tanpa solekan. Wanita yang mencipta nama menerusi filem Fugitive Pieces dan drama The Vampire Diaries itu tidak risau berada di khalayak ramai dengan wajah aslinya.

Tahun ini dia antara lima artis yang muncul dalam majalah People Style dengan wajah polos. Keberanian pelakon itu menghadiri sesi fotografi untuk hiasan muka depan majalah berkenaan menjadi sebutan peminat.

Katanya, sejak dulu lagi dia menerima kekurangan diri dengan hati terbuka. Dia selesa dengan kulit serta fizikalnya walaupun kadang-kala ada segelintir pihak yang mengkritik.

“Saya berharap semua wanita dapat menerima diri mereka seadanya tanpa perlu prejudis terhadap diri sendiri. Tapi saya lihat terlalu ramai anak muda yang ingin kelihatan menarik seperti selebriti.

“Terlalu ramai anak muda terutama wanita menginginkan diri mereka sentiasa jelita walaupun baru bangun tidur. Mereka terlalu obses untuk kelihatan cantik seperti selebriti.

“Perasaan itu akan menimbulkan rasa kurang puas hati terhadap diri sendiri sekali gus menyebabkan rasa rendah diri. Mereka akan terperangkap dalam emosi itu.

“Sebab itu saya bersetuju untuk menyertai kempen ‘People’s Most Beautiful’. Saya dengan bangga menunjukkan kepada umum bahawa saya tetap yakin tampil tanpa solekan,” katanya.

Pelakon yang bakal muncul dalam filem triler Flatliners itu berkata, dia bukan anak seni yang menggunakan solekan setiap hari untuk menutup cela pada wajahnya.

Menerusi laman sosial Instagram juga, Nina sentiasa berkongsi gambarnya dengan wajah asli. Ketika berada di rumah dan ingin berkongsi sesuatu dengan peminat, Nina tidak ada masa untuk mencantikkan dirinya.

“Menerusi Instastory, saya tidak ada masa untuk bersolek semata-mata ingin tampil cantik. Saya akan menekan butang video dan berkongsi rakaman itu dengan pengikut di Instagram.

“Video itu umpama diari dan aktiviti harian yang saya kongsikan dengan peminat. Saya hanya akan bersolek apabila perlu menghadiri majlis rasmi,” katanya.

Nina atau Nikonlina Konstantinova Dobreva antara pelakon yang tampil sempurna setiap kali melewati karpet merah.

Bagaimanapun, dia sendiri mengakui berhadapan dengan masalah parut jerawat sama seperti yang lain.

Nasihatnya, jangan terlalu fokus pada parut itu kerana ia masih boleh ditutup dengan teknik solekan.

Katanya, masih banyak perkara yang dapat menggembirakan hati.

“Kulit wajah saya tidak sempurna seperti dibayangkan umum. Saya juga mengalami masalah jerawat. Kadang kala ia teruk tetapi saya tidak terlalu risau kerana banyak produk boleh dibeli untuk menyelesaikan masalah itu.

“Tidak perlu terlalu memikirkan perkara itu sedangkan masih ada cara untuk menanganinya.

“Kalau tidak mampu membeli produk kecantikan, barang-barang di dapur seperti soda bikarbonat juga sangat membantu.

“Saya selalu meletakkan krim mengecutkan jerawat kemudian keluar rumah tanpa membersihkan krim itu terlebih dulu.

“Saya tidak rasa malu kerana itu realiti kehidupan. Ia normal dan semua orang mengalami turun naik kehidupan,” katanya.

Diangkat sebagai suri teladan untuk anak-anak muda, Nina berharap dia dapat menyebarkan aura positif mengenai kecantikan kepada masyarakat umum.

Baginya, dia memainkan peranan penting untuk mengajar generasi Y bahawa mereka sudah cukup sempurna. Duta kecantikan ini berharap mereka menyedari keistimewaan masing-masing dan menerima diri seadanya.

Nina juga mengejutkan peminat siri The Vampire Diaries ketika membuat keputusan untuk meninggalkan drama itu. Alasannya, dia ingin berhenti daripada terus melakonkan watak remaja.

Katanya, dia sudah lama terfikir untuk meninggalkan drama itu tetapi bimbang tidak dapat tawaran lain. Bagaimanapun, kebimbangan itu menyebabkan dia bekerja lima kali ganda lebih keras dari sebelum ini.

“Saya ingin keluar terus melakonkan watak remaja. Saya mahu mencuba karakter yang lebih dewasa sesuai dengan usia saya sekarang. Watak dewasa akan memberi saya peluang untuk merasai cabaran baru dan bekerja dengan pembikin filem hebat.

“Keputusan itu sekali gus membuatkan saya seorang yang sangat memilih setiap tawaran yang datang. Saya mahu mencuba sesuatu yang baru, maka saya harus meneliti setiap peluang yang diberikan,” katanya.
Powered by Blogger.