Berita Terkini
recent

Terima saya seadanya: Amelina

PENGLIBATAN figura ini di dalam industri seni bukannya baru bermula meskipun langkahnya pernah terhenti seketika selama 15 tahun.

Namun itu cerita dahulu kerana wanita yang terkenal dengan jolokan Ratu Dangdut Malaysia ini tekad meneruskan kembali kariernya sejak tiga tahun lalu.

Di sebalik penerimaan peminat yang telah lama merinduinya, Amelina tidak terlepas dari menelan kutukan yang dilemparkan kepadanya, bahkan ada juga mempertikai relevan dia kembali aktif di dalam industri seni.

Tidak cepat melatah dengan isu populariti dan penerimaan orang lain, wanita berusia 43 tahun ini tetap kuat mengorak langkah demi mencari rezeki buat anak-anak tercinta dan dalam masa sama, membuat aktiviti yang disukainya; menghiburkan orang ramai.


"Tidak dinafikan, zaman saya di dalam industri seni ini sudah lama berlalu. Genre dangdut tidak lagi hangat seperti dulu. Tapi bila saya dijemput untuk hiburkan orang ramai, lagu saya masih lagi relevan dan diterima ramai, lebih-lebih lagi bagi yang membesar sekitar 90-an.

"Walaupun saya tak lagi popular seperti dahulu, saya akan pastikan buat yang terbaik setiap kali persembahan agar orang masih ingat dan alert kehadiran saya dalam industri," katanya kepada Media Hiburan.

Tidak mahu mengambil jalan singkat dengan menggunakan kontroversi untuk kembali meraih perhatian, pemilik nama penuh Norazlina Amir Sharipuddin ini percaya rezeki dari ALLAH SWT.

"Ada kontroversi boleh menjatuhkan, ada kontroversi boleh menaikkan, tapi sampai bila?

"Dari dulu lagi, saya tak reti nak cipta kontroversi sebab saya tahu tak ke mana pun.

"Lagipun niat saya kembali aktif ini adalah untuk mencari rezeki buat anak-anak. Jadi biarlah dengan cara yang betul. Saya tak mahu dari orang suka kita, orang jadi menyampah pula," ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Amelina berkata, dia bakal tampil showcase istimewa Jumaat ini.

Dianjurkan D’Saji KL Titwangsa dan Best FB KL Concerts, Showcase Live Ratu Dangdut Malaysia Amelina diadakan sempena meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 di Restoran Terapung Taman Tasik Tiitiwangsa - D’Saji KL Titiwangsa.

"Insya ALLAH, saya akan nyanyikan 14 lagu seperti Asyik, Rindu, Memori Daun Pisang, Hangat, Cinta Oh Cinta dan banyak lagi. Persembahan ini juga antara lain sebagai platform untuk membuktikan saya masih kekal relevan dalam industri seni," jelasnya.

Cari peluang

Dalam pada itu, ditanya tidakkah dia mahu mencuba bidang lakonan, Amelina berkata, tuntutan jadual persembahan yang padat membataskan masanya untuk menjadi pelakon.

Katanya, dia pernah cuba berlakon tahun lalu, namun penat kerana terkejar-kejar dari lokasi penggambaran dan persembahan.

"Saya rasa kalau betul saya nak berlakon, kena cari masa yang betul-betul sesuai. Saya tak mahu sapu sahaja semua benda dan akhirnya saya sendiri tak cukup rehat," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai anak-anaknya, Puteri Nur’ Athirah, 16, Putera Al’ Affiq, 15, Putera Al’ Asyraff, 14, Puteri Nur’ Asyurah, 12, Putera Al’ Arffa, 10, dan Putera Al’ Amzar, 8, Amelina berkata, dia bersyukur kerana semua anaknya sangat memahami.

“Mereka sudah biasa berdikari dan yang sulung sudah boleh diharap menjaga adik-adik. Lagipun saya kembali tinggal bersama ibu. Walaupun saya sibuk, mereka memahami dan jika saya ada di rumah, saya akan beri perhatian penuh kepada mereka," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.