Berita Terkini
recent

Soo Wincci Sambung Belajar Lagi

PENYANYI dan pelakon Dr. Soo Wincci nampaknya masih belum puas menimba ilmu apabila dia bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah muzik terkenal dunia iaitu Berklee College of Music.
Menerusi perkongsian berita gembira itu di Instagram, Wincci, 32, berkata, dia sudah 10 tahun berhasrat untuk memasuki universiti berkenaan dan akhirnya impian itu tercapai.

"Saya tidak dilahirkan dengan bakat jadi saya perlu bekerja lebih keras daripada orang lain untuk mencapai sesuatu.

"Sudah 10 tahun saya tanam hasrat untuk mendapat tawaran masuk ke universiti muzik Hollywood yang saya impikan iaitu Berklee," tulisnya.

Wincci akan mengambil kursus Sarjana Muzik dalam pengkhususan Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi di kampus Berklee College of Music di Valencia, Sepanyol.

Dalam pada itu, pada perkongsian sama, Wincci mengakui peluang menyambung pengajian itu datang dengan pelbagai cabaran besar namun nekad demi mencapai cita-cita sebagai pengarah muzik.
"Walaupun peluang ini datang dengan pelbagai cabaran yang lebih besar tapi kali ini saya nak ambil risiko ini dan cabarkan diri sendiri untuk menjadi seorang pengarah muzik!," tulisnya.

Oktober tahun lalu, Wincci bergelar doktor falsafah (PhD) selepas menerima ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pada majlis sama, Wincci turut menerima pengiktirafan sebagai ratu cantik Malaysia pertama menerima PhD oleh Malaysia Book of Records.

Wincci juga mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Sunshine, Coast, Australia.


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.