Berita Terkini
recent

'Saya memang bercakap Mandarin di rumah'

“Saya tak tahu akan jadi macam ni, kerana apa yang mak cakap selama ini ada kebenarannya,” demikian cerita Nur Syafiqah Azaman, 23, yang menjadi tular selepas membantu dua pelajar dari Shandong, China baru-baru ini.

Nur Syafiqah yang memang bertutur dalam bahasa Mandarin di rumah tidak menyangka bahasa ketiganya itu banyak membantu lebih-lebih lagi dalam pekerjaannya.

“Sejak kecil lagi ibu saya bercakap Mandarin dengan saya dan adik. Katanya ia penting untuk kami berkomunikasi dengan saudara-mara kami sebelah ibu yang berbangsa Cina.

“Lagipun, masa kecil memang tak nampak apa-apa, tetapi bila ada keperluan, ia akan sangat membantu.

“Masa mula-mula tu memanglah kekok, tapi lepas ibu hantar ke tadika dan sekolah rendah, ia jadi bahasa kedua kami di rumah,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Nur Syafiqah berkata, selain belajar di sekolah, ibunya yang berbangsa Tionghua juga mengajarnya di rumah.

"Ibu saya berbangsa Cina dan bekerja sebagai tukang jahit di Changlun. Ayah pula anggota polis di Changlun,” katanya.

Tidak menyangka, video tularnya yang dikongsi seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis itu mula menjadi bualan kerana kepetahan Nur Syafiqah semasa berkomunikasi dengan pelajar dari China itu.

Video berdurasi satu minit 38 saat itu mendapat perhatian apabila menjadi tular sejak beberapa hari lalu.

Saat diajukan soalan mengenai perkara itu, Nur Syafiqah berkata, ia berlaku secara tidak sengaja.

“Dua pelajar berkenaan ada ke kaunter khas untuk urusan mereka. Tetapi mereka tidak faham apabila pegawai di sini memberi penerangan dalam bahasa Inggeris.

“Pegawai itu pun memanggil saya untuk membantu. Apabila saya mula bercakap dengan mereka, dapat saya lihat, riak wajah mereka seakan lega,” katanya.

Anak pertama daripada dua beradik ini sebelum ini mendapat pendidikan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis sebelum menjalani latihan di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Air Molek Melaka.

Ditanya, adakah ia kali pertama dia bertutur dalam bahasa Mandarin semasa di kaunter, Nur Syafiqah yang baru empat bulan berkhidmat dengan JPJ Perlis menafikannya.i

“Saya bertugas di kaunter khas. Ada beberapa kali saya bertutur dengan warga emas berbangsa Cina yang kurang fasih berbahasa Melayu.

“Cuma, kali ini, dua pelajar China itu memang tak tahu langsung bahasa lain,” katanya yang berharap akan dapat belajar bahasa Tamil pula selepas ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Perlis, Mohd Tarmizi Ghazali yang berkata, ia seakan-akan bonus buat JPJ Perlis selepas video berkenaan menjadi tular.

“Dengan tersebarnya perkara sebegini, tidak mustahil selepas ini kami akan mengadakan kursus jangka pendek untuk kakitangan JPJ bagi memantapkan kemahiran bahasa.

“Ini penting kerana tugas di bahagian kaunter adalah berhadapan terus dengan pelanggan. Namun semuanya masih di peringkat awal,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.