Berita Terkini
recent

Raja Ilya gemar kerja-kerja sosial

PENDEDAHAN terhadap kepentingan membantu insan memerlukan sejak remaja menjadikan pelakon dan pengacara, Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad cukup peka terhadap situasi di sekelilingnya.

Akui bintang berusia 32 tahun ini lagi, kesedaran tersebut makin kuat tertanam di dalam diri apabila nenek kesayangan, meninggal dunia di depan mata ketika usianya mencecah 18 tahun.

Raja Ilya yang sememangnya menggemari kerja-kerja sosial menyifatkan setiap individu mempunyai keprihatinan bukan saja sesama manusia tetapi alam sekitar.

“Banyak lagi yang boleh kita lakukan, selain membantu anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Sebab yang paling penting, buatlah dengan seikhlas mungkin. Bukan ada niat tersirat,” katanya ketika ditemui Media Hiburan sejurus selesai rakaman sebuah program pilot terbitan Darkwave Pictures di Ipoh, Perak, baru-baru ini.



Katanya, sebagai persediaan apabila berdepan dengan musibah tak terduga, dia mempunyai kit kecemasan di dalam kereta.

“Malang tidak berbau. Jadi saya sediakan first aid yang advanced yang boleh digunakan jika perlu. Saya akan bawanya ke mana saja saya pergi. Sejak zaman sekolah, saya menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah. Jadi, pendedahan terhadap kepentingan membantu di saat kecemasan sudah diasah sejak kecil.

“Pendedahan dan pengetahuan itu seiring dengan kursus pertolongan cemas atas inisiatif sendiri. Bukan untuk diri semata-mata, tapi juga mungkin boleh diaplikasikan pada yang memerlukan juga, Insya-ALLAH,” beritahu Ilya.

Terkenang arwah nenek

Mengimbas detik sedih ketika arwah neneknya meninggal dunia, pelakon Syurgaku Tak Sempurna di Hip TV ini mengakui, dia tidak dapat berbuat sesuatu kerana terlalu panik hingga lupa ilmu yang dipelajari sebelum ini.

"Sampai sekarang, saya terkesan dengan peristiwa tu lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada hari lahir saya. Memang terkilan. Tapi, saya reda," ujarnya.

Pelakon ini juga memberitahu, pengalaman itu membuatkan dia belajar supaya tidak mudah panik sebaliknya pantas memberi bantuan.

Raja Ilya turut menambah, dia pernah membantu mat rempit yang kemalangan ketika melakukan penggambaran sebuah program di Bukit Merah, Perak beberapa tahun lalu.


Ketika kejadian, kongsi Ilya, keadaan jalan raya agak licin kerana baru lepas hujan dan dia bersama kru sedang berehat. Tiba-tiba seorang mat rempit terjatuh akibat tidak dapat mengawal motosikal yang ditungganginya lalu digilis kereta dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika dibantu, pemuda itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Saya hubungi 999 dan sementara menanti mereka sampai, saya cuba bagi bantuan kecemasan. Tapi hayatnya tak panjang. Sampai sekarang, kalau saya nampak mat rempit merempit, rasa geram dan sayu,” akui Ilya yang turut berpesan supaya pengguna berhemah di jalan raya.

Tak terima tawaran demi misi

Bercakap mengenai sisi kerjaya seninya pula, Raja Ilya yang sebelum ini sinonim menerusi drama Gerak Khas memberitahu, dia tidak mengambil sebarang tawaran besar sepanjang tiga bulan ini demi memastikannya bersedia menanti peluang tahun depan.

“Bukan tiada job berlakon, tapi saya perlu tolak sebagai persiapan mengembangkan kerjaya lakonan di Amerika Syarikat.

Katanya, persiapannya dalam konteks mental dan fizikal terutama meluangkan masa di gim untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal dengan kesesuaian watak selain memastikan semua berada dalam keadaan bersedia sebelum berangkat ke sana.

Raja Ilya yang turut terlibat dalam bisnes minuman beberapa tahun lalu turut gembira kerana Richiamo Coffee by Raja Ilya kian mendapat sambutan.

"Kami sudah ada tiga cawangan francais. Antaranya di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Menara Miti, Kuala Lumpur. Insya-ALLAH, sebelum akhir tahun ini, tiga lagi cawangan baru akan dibuka,” akhiri Ilya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.