Berita Terkini
recent

Pesanan, pelukan terakhir Haikal jadi pengubat rindu

Pelukan erat dan kata-kata pesanan berulang kali  supaya menjaga diri pada pertemuan akhir  mereka, kini menjadi kenangan dan pengubat rindu seorang ibu terhadap  anaknya yang maut dalam kebakaran di Pusat  Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat pagi semalam.

Hudah Abdul Ghani, 54, ibu kepada Allahyarham Muhammad Haikal Abdullah, pelajar pusat tahfiz itu  sama sekali tidak menyangka kata-kata dan pelukan erat anaknya pada pertemuan mereka Rabu lepas  adalah 'hadiah terakhir' sebelum anak bongsunya pergi selama-lamanya.

"Umi, jaga diri baik-baik..umi, jaga diri baik-baik...umi, jaga diri baik-baik," ulang Hudah dalam keadaan sebak berhubung pesanan dan kata-kata terakhir anak kesayangan daripada tujuh adik beradik,  yang diakuinya masih terngiang-ngiang sehingga ini.

Ditemui Bernama sejurus selepas pengebumian berakhir, ibu itu berkata  mereka sekeluarga sepatutnya berkumpul hari ini untuk bertemu Allahyarham di Taman Tasik Datuk Keramat, yang terletak berhampiran pusat tahfiz itu, namun waktu yang  ditunggu-tunggu keluarga itu tidak kesampaian berikutan tragedi kebakaran yang menimpa.

Menurut Hudah, anaknya baharu sembilan bulan belajar di pusat tahfiz itu atas kerelaannya sendiri selepas bersekolah di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Jalan Semarak di sini.

Pada pertemuan terakhir itu juga  ibunya berkata Allahyarham Muhammad Haikal sempat  bermanja  sambil meluahkan rasa gembira  kerana  akan mula membaca dan menghafaz al -Quran keesokan harinya (Khamis).

Allahyarham Muhammad Haikal,12, seorang  daripada 21 pelajar yang maut dalam kebakaran  pada  pukul 5.15 pagi itu.

Dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu turut terkorban selain enam pelajar lain dan seorang awam turut tercedera dalam kebakaran itu.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Muhammad Haikal di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat,di sini kira-kira 500 meter daripada lokasi kejadian.

Jenazah tiba di perkarangan tanah perkuburan itu pada 6.50 petang tadi dan selamat dikebumikan 20 minit kemudian sambil disaksikan dengan genangan air mata oleh 150 anggota anggota keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham serta rakan-rakannya yang maut telah disembahyangkan di surau  kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah proses padanan DNA selesai petang tadi sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk ke lokasi pengebumian.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.