Berita Terkini
recent

'Pengundi kini lebih arif'

Tidak dapat dinafikan, kemunculan pelbagai program realiti TV bukan saja menggilap bakat baru sekali gus merancakkan lagi industri muzik tanah air.

Malah stesen TV juga berlumba-lumba untuk menerbitkan pelbagai program realiti TV untuk menarik penonton dan program begini memberi kepercayaaan kepada penonton melalui undian SMS untuk menentukan pemenangnya.

Antara program realiti TV popular yang mendapat tempat di hati penonton kini ialah Akademi Fantasia, Mentor, Super Spontan, Gegar Vaganza, Raja Lawak dan AF Megastar 2017.

Namun, sejauh manakah program realiti TV berdasarkan undian penonton ini masih relevan di persada hiburan tanah air?

Kolum Cuit Sikit Bling! minggu ini menemu bual barisan artis seperti Syamel, Ayda Jebat, Amira Othman dan Farahdhiya untuk berkongsi pandangan mereka mengenai isu ini.

Rata-rata mengakui program realiti TV berdasarkan undian penonton masih relevan dalam bidang hiburan tanah air. Namun ada segelintir artis berpendapat sistem pemarkahan juri profesional lebih meyakinkan.

Syamel

“Relevan atau tidak jawapannya adalah daripada keputusan yang ditunjukkan oleh mereka yang menonton dan mengundi. Andai kata tidak relevan, program realiti itu tidak akan diterbitkan.

Apabila bercerita mengenai artis kegemaran, akan wujud peminat. Ada yang sekadar meminati dan ada juga peminat fanatik.

Selalunya yang betul-betul minat artis kegemaran mereka akan bertungkus-lumus meletakkan artis kegemaran mereka pada satu tahap yang paling tinggi tak kira apa pun caranya.

Andai kata jika dalam satu pertandingan itu menggunakan undian, medium itulah yang akan mereka gunakan kerana hanya cara itu yang mampu mereka lakukan untuk artis kegemaran mereka terus kekal hingga ke peringkat akhir.

Namun, bakat nyanyian digilap bukan hasil daripada undian penonton. Untuk seorang penyanyi, paling utama adalah ilmu yang perlu dipelajari, kedua, hadirnya bakat semula jadi dan yang terakhir pengalaman.

Undian penonton majoritinya berdasarkan artis kegemaran sesuai dengan kenyataan ‘undilah artis kegemaran anda.’

Maksudnya di situ peluang untuk berada di tempat yang paling selesa lebih besar dan sukar untuk diramal kerana peminat memainkan peranan yang besar dalam hal ini.

Mungkin tahun demi tahun, konsepnya sentiasa berubah, ada program realiti yang tidak lagi menggunakan undian penonton sebagai keputusan 100 peratus.

Untuk berlaku adil dan lebih menarik, peratusan keputusan yang membabitkan undian kini turut membabitkan pemarkahan juri supaya keputusan itu meyakinkan ramai.

Bagi saya pengundi sekarang lebih bijak. Mungkin dulu ramai pengundi yang hanya menilai rupa paras tetapi sekarang selepas beberapa tahun program realiti mula bersiaran, mereka lebih arif dan pandai menilai untuk membuat keputusan.”

Ayda Jebat

“Bagi saya program realiti TV berdasarkan undian penonton masih relevan sampai bila-bila pun. Sama ada program realiti TV itu bagus atau sebaliknya, terpulang kepada produk itu sendiri.

Namun, mesti ada pro dan kontranya undian penonton ini. Dengan adanya medium sosial sekarang semua perkara yang dilakukan artis akan diketahui peminat.

Kita tidak boleh menafikan perkembangan teknologi maklumat kerana ia juga berlaku di luar negara.

Jika seorang artis itu menang kerana hasil undian peminat, dia juga perlu membuktikan kepada penonton dirinya memang layak untuk menang.

Contohnya saya sendiri menang anugerah hasil undian penonton dan saya melihat dari sudut positif. Anugerah juga menyuntik semangat untuk saya berikan yang lebih bagus dalam karya dihasilkan.

Saya juga sangat cerewet dengan lagu dihasilkan kerana menerusi lagu saya juga tingkatkan keserasian dengan peminat.

Jika anda ingin menjadi penyanyi, ia bukan untuk suka-suka sebaliknya anda perlu serius dengan karya dihasilkan.

Lagu dihasilkan perlu mengikut perkembangan muzik semasa, susunan muzik bagus, berkualiti dan lirik memberi impak pada pendengar.”


AYDA Jebat
Amira Othman

“Pada pandangan saya, program realiti TV berdasarkan undian penonton masih relevan dalam bidang hiburan tanah air.

Pengundi sekarang lebih bijak dan terbuka untuk menilai artis kegemaran mereka. Cuma ada segelintir pengundi yang masih belum betul-betul mampu untuk menilai bakat berbanding paras rupa.

Mungkin ada pengundi yang masih kabur dan kurang ilmu pengetahuan untuk menilai bakat seseorang artis untuk diketengahkan dalam industri hiburan tanah air.

Namuh ia bukanlah menjadikan sistem undian penonton itu tidak relevan sekarang.”


AMIRA Othman
Farahdhiya

“Sebagai penyanyi berpengalaman, saya tetap percaya sistem undian dari barisan juri profesional adalah yang terbaik dalam melahirkan bakat dari program realiti TV.

Pada pemerhatian saya, undian penonton tidak menjanjikan bakat yang betul-betul terbaik untuk diketengahkan dalam bidang hiburan.

Sistem undian penonton juga tidak adil untuk mereka yang benar-benar berbakat besar tetapi gagal meraih undian penonton terutama dalam pertandingan nyanyian.

Rata-rata penonton apabila mengundi tidak hanya mengundi berdasarkan bakat nyanyian tetapi lebih kepada perkara lain seperti paras rupa, karakter dan sebagainya.

Ia juga sesuatu yang merugikan industri muzik apabila bakat yang betul-betul bagus dipinggirkan dalam bidang nyanyian.”


FARAHDHIYA
Powered by Blogger.