Berita Terkini
recent

Pencapaian ibarat mimpi

Sebelum ini, wajah Nadiyah Syed Fuad Shahab menghiasi video muzik Mewangi nyanyian Akim & The Majistret dan kemudian mengacara program Lost At SEA yang pernah disiarkan menerusi saluran Go Asean di Astro (737).

Pelakon kelahiran Singapura ini mula menjadi perhatian peminat apabila membintangi drama Encik Suami Mat Salleh Celup dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati yang menjadi trending baru-baru ini.

Berbekalkan bakat, Nadiyah, 26, terus dihujani pelbagai tawaran berlakon dan terbaru membintangi drama Kelip Kelip Kota London arahan Murali Abdullah.

Nadiyah yang aktif dalam dunia peragaan di Kota Singa berkata apa yang dikecapi hari ini ibarat mimpi malah tidak pernah terfikir mencanai bakat seni di Malaysia.

“Alhamdulillah, kerjaya saya berkembang baik di sini. Penggambaran Kelip Kelip Kota London pun sudah tamat yang saya bawakan watak orang tidak siuman.

“Kini saya terikat dengan penggambaran drama Lafazkan Kalimah Cintamu,” katanya.

Nadiyah berkata dia turut ditawarkan menjayakan watak doktor dalam drama Cinta Buta Hati dan ia satu pengalaman yang berbeza.

“Syukur berkat kerja keras, bakat saya semakin mendapat perhatian peminat.

“Dalam Lafazkan Kalimah Cintamu, saya sekali lagi bergandingan dengan Nelydia dan kami semakin rapat.

“Saya bawa watak antagonis sebagai Tengku Natasya, kakak kepada Nelydia,” katanya.

Nadiyah yang mengikuti pengajian Diploma Perundangan di Universiti Of London, Singapura mengakui keputusannya berhijrah ke Kuala Lumpur satu tindakan tepat.

“Pada mulanya orang tua sukar terima keputusan saya. Apatah lagi ramai ibu saudara saya bekerja sebagai guru dan sangat mementingkan pelajaran.

“Saya nekad belajar secara jarak jauh. Biarpun susah, saya guna teknik dengar rakaman suara pensyarah. Bagi saya kaedah ini lebih bagus daripada masuk kelas,” katanya.

Melakukan dua perkara dalam satu masa menjadikannya lebih bersungguh-sungguh sehingga meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya gembira kerana dapat berdikari dan membuktikan kepada semua apabila boleh bayar sendiri yuran pengajian.

“Syukur akhirnya keluarga merestui pilihan saya,” kata gadis berdarah kacukan Arab dan Jawa yang akan tamat pengajian tahun hadapan ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.