Berita Terkini
recent

Nurul serius ke pasaran Eropah

Langkah berani dimulakan penyanyi Nurul Wahab apabila melancarkan album perdana berbahasa Perancis sebagai percubaannya mengintai pasaran Eropah.

Keberangkatan penyanyi yang popular menerusi lagu Kerana Terluka itu ke Paris Oktober ini bagi melaksanakan pembikinan kulit albumnya bukti tanda keseriusan Nurul dalam merangka strategi untuk melebarkan sayap di sana.

Setakat ini album yang memuatkan tujuh lagu termasuk satu berbahasa Inggeris itu belum diberikan judul. Keseluruhan pembikinan album mendapat sentuhan komposer Kirsten Harma.

“Berjaya atau gagal, saya sudah mempersiapkan diri menerima risikonya. Saya sendiri sedia maklum bukan mudah menembusi pasaran antarabangsa tetapi sekurang-kurangnya saya mencuba.

“Saya berani mencuba kerana percaya dengan pihak produksi dan pasukan promosi. Tambahan pula pasaran muzik di Perancis lebih terbuka menerima penyanyi dari luar.

“Pada masa sama, saya bimbang memikirkan maklum balas dan penerimaan pendengar di sana nanti.

“Bagaimanapun, saya positif. Melihat keupayaan penyanyi dari seberang, Anggun diterima masyarakat di sana menjad inspirasi untuk melebarkan sayap ke negara itu,” katanya.

Mengakui dirinya sangat beruntung kerana usahanya mendapat sokongan suami tercinta, Eric Depp yang turut memberi keizinan sekiranya perlu berulang-alik ke Paris.

“Izin daripada suami amat penting kerana apabila perlu berada di Paris, dialah yang akan membantu menjaga anak.

“Keputusan melebarkan nama di sana selepas 22 tahun bergelar anak seni diharap membuahkan hasil. Sebagaimana Datuk Shake mengharumkan nama Malaysia di sana, saya juga berharap dapat melakukan hal yang sama,” katanya.

Ditanya kenapa bukan album Melayu, Nurul berkata dia sudah tidak terdaya untuk melabur dalam pembikinan album Melayu.

“Memang saya nak sangat buat album Melayu tetapi saya sudah tak larat nak keluarkan duit sendiri.

“Soalnya, ada ke label tempatan yang masih mahukan Nurul?” katanya dalam nada bergurau.
Powered by Blogger.