Berita Terkini
recent

Neelofa Tetap Pendirian Takkan Tanggal Tudung

Sungguhpun dia dihujani pelbagai kritikan dan kecaman berikutan penampilannya ketika berada di Itali, baru-baru ini namun Neelofa tetap dengan pendiriannya tidak akan sesekali membuka tudung.

Memetik laporan BH online, aktres dan pengacara berusia 28 tahun ini berkata beliau masih tahu menjaga batas penampilan agar tidak tersasar daripada imej wanita bertudung.

"Ia bukan kali pertama saya mengenakan jeans sebegitu dan orang yang komen itu mungkin baru kali pertama melihat diri saya, serta tak mengenali siapa saya.

"Saya tahu diri ini berhijab dan memang saya mengenakan 'inner' (pakaian dalam) bersama jeans itu. Biasalah, orang akan cuba mencari kesalahan memandangkan penampilan saya yang sebegini, jadi pelbagai kritikan dilemparkan," katanya.

Baru-baru ini, laman sosial Instagram miliknya dihujani pelbagai komen daripada netizen berhubung gambar dimuat naik beliau yang kononnya menampakkan bahagian lutut apabila memakai jeans koyak, begitu juga sewaktu dirinya mengenakan turban yang menampakkan rambut ketika menghadiri malam gala Swarovski di Milan, Itali.

Meskipun ada yang meninggalkan komen meminta beliau membuka saja hijab disebabkan penampilannya itu, Neelofa berkata, dirinya takkan sesekali berbuat begitu.

"Saya tahu siapa diri ini dan saya suka memakai sesuatu yang dirasakan selesa, bukannya disebabkan suruhan orang lain. Saya juga tidak pernah terfikir untuk membuka hijab kerana inilah yang saya pilih sejak awal memakainya dulu.

"Sebagai wanita berhijab, kita tak boleh terikat dengan satu fesyen saja, sebaliknya boleh jadi lebih bergaya. Dengan penampilan saya ini juga saya diterima dan dipandang orang luar ketika berada di Milan dan New York," katanya.

Mengaku tidak begitu terkesan dengan komen sedemikian, Neelofa sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya dan aktiviti yang dilakukannya.

Powered by Blogger.