Berita Terkini
recent

Nadiya Nisaa Menantikan Watak Ahli Sukan

PELAKON Nadiya Nisaa sehingga kini masih tidak menerima sebarang tawaran untuk melakonkan watak sebagai ahli sukan seperti yang dia idamkan sejak sekian lama.

Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin, 32, berkata dia sanggup melakukan latihan sukan kerana ia merupakan satu kelebihan buat seorang pelakon.

"Sebenarnya dari dulu sampai sekarang, saya asyik cakap benda ini tapi masih tidak dapat lagi. Saya nak bawa watak ahli sukan.

"Ada banyak filem Hollywood yang mengisahkan ahli sukan kita tengok mesti naik bulu roma. Sebab itu saya teringin nak buat watak tersebut.

"Saya sanggup pergi latihan kerana itu adalah bonus dan kelebihan sebagai seorang pelakon.
"Apabila kita dapat sesuatu watak yang memperuntukan waktu untuk belajar kemahiran dan ia adalah kelebihan di masa hadapan," kata Nadiya .

Nadiya ditemui ketika majlis pelancaran rancangan Oh My English! Level Up di Melur And Thyme, Pavilion Elite baru-baru ini.

Bagaimanapun, menerusi rancangan bersiri yang akan bermula pada 1 Oktober ini Nadiya memegang watak sebagai cikgu yang mengajar Pendidikan Jasmani.

Menurut Nadiya, biarpun belum berpeluang memegang watak ahli sukan namun dia gembira dapat tawaran yang lebih kurang sama.

"Tak dapat ahli sukan tapi dapat jadi cikgu sukan dalam rancangan Oh My English! Level up pun dah seronok.

"Apabila dapat tawaran ini, saya nak sangat jadi cikgu Pendidikan Jasmani. Saya memegang watak sebagai cikgu Rozita atau Jojie," ujarnya.

Selain Nadiya, antara pelakon lain yang turut menjayakan rancangan ini ialah Adibah Noor, Tauke Jambu, Juzztin dan pelakon baharu berasal dari England, Mark Odea.

Rancangan yang berdurasi selama 15 minit ini akan bersiaran di Astro TVIQ dan siaran serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD.


Powered by Blogger.