Berita Terkini
recent

Masalah bahasa bukan penghalang buat Dzawin

MENGAKUI berdepan dengan cabaran bahasa, Dzawin Nur Ikram bagaimanapun bersikap terbuka untuk mempelajarinya apabila menerima tawaran sebagai pengacara bagi program pencarian bakat cilik Islamik, Ceria I-Star 2017.

Katanya, walaupun berasal dari negara serumpun iaitu Indonesia, penggunaan bahasa tetap berbeza.







“Jika dari segi umum ia sama, tapi sangat berbeza secara spesifik.

“Apabila jadi hos, saya perlu mencari cultural punchline supaya mudah untuk menyampaikannya.


“Jadi, untuk mengelakkan rasa kekok, saya perlu belajar dan saya happy melakukannya,” katanya pada Media Hiburan.

Rentetan itu, peserta solo program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) ini berusaha mendalami bahasa dan budaya di negara ini.

“Saya belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Saya cuba tonton wayang di sini. Saya cuba naik pengangkutan awam dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Walaupun terpaksa bekerja keras, selebriti berusia 26 tahun ini mengakui menjadi pengacara juga merupakan minat utamanya.

“Untuk di sini, program inilah yang pertama. Kalau di Indonesia, saya dah biasa jadi hos.

“Cuma, kali ini audiensnya terdiri daripada orang Melayu jadi saya perlu adjust bahasa.

“Saya juga sebenarnya sukakan kanak-kanak. Lagi pula saya pernah menjadi cikgu,” katanya.

Bagaimanapun, Dzawin tidak keseorangan kerana ditemani pelawak popular, Nabil Ahmad dan penceramah, PU Yeop yang bertindak sebagai pengacara bersama.

“Saya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan Nabil.

“Walaupun dia gila-gila, tapi saya juga lebih gila cuma kerana bahasa perangai gila saya menjadi sedikit tertutup (ketawa).

“Tapi, apa-apapun, saya senang bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Dzawin mengakui bergelar pengacara lebih mudah berbanding ketika beraksi di pentas lawak.

“Sebenarnya membuat lawak lebih serius berbanding menjadi pengacara.

“Lagipun, bukan senang untuk buat orang ketawa apatah lagi before that we need to prepared very well,” katanya yang berharap agar karier seninya akan lebih berkembang selepas ini.

Ceria I-Star 2017 akan mula bersiaran setiap Sabtu, di Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135), jam 9 malam bermula 7 Oktober depan.
Powered by Blogger.