Berita Terkini
recent

Mark O'Dea Tak Risau Dibanding-bandingkan Dengan Zain Saidin

Meskipun masih baru dalam dunia lakonan tanah air terutamanya pembabitannya dengan produksi tempatan yang menghasilkan program berbahasa Melayu namun bintang Youtube, Mark O'Dea menganggap tawaran menjayakan sitkom Oh! My English Level-Up sebagai peluang keemasan.

Menurut jejaka kelahiran England ini, dia pernah menonton sitkom edutainment ini dan padanya ia sebuah program yang sangat bagus kerana berunsurkan pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang mana program berkonsepkan seperti ini jarang dihasilkan termasuklah di negara kelahirannya sendiri.

Teruja saat menerima tawaran malah Mark sanggup berkorban mewarnakan rambutnya demi menjayakan watak sebagai Mr. James Blond yang merupakan seorang cikgu bahasa Inggeris.

Watak Mr. James Blond mengantikan watak cikgu kesayangan ramai penonton Oh My English iaitu Mr. Middleton lakonan Zain Saidin.

"Watak saya sebagai cikgu bahasa Inggeris jadi bagi saya cabarannya tidaklah sukar keran saya bertutur dalam bahasa Inggeris. Tapi saya harus warnakan (blonde) rambut saya. Mulanya saya rasa sayang dan berat hati kerana rambut asal saya berwarna coklat tapi saya akhirnya rela lakukan demi watak ini.

"Saya pernah menonton Oh My English! musim lalu kerana kebetulan ada satu episod menampilkan ahli gusti WWE, The Miz dan saya merupakan peminat beliau.

"Saya terima berlakon dalam sitkom ini kerana ia satu program yang sangat bagus dan di England pun jarang ada sitkom yang menyelitkan konsep pembelajaran seperti ini. Saya difahamkan sitkom ini mendapat tontonan yang tinggi dan ianya ditonton oleh kanak-kanak dan remaja. Ini juga satu peluang untuk saya mengembangkan bakat lakonan saya dan ini pertama kali saya terbabit dalam program bahasa Melayu,"katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Oh My English -Level Up!, kelmarin.


Oh My English-Level Up kembali riuh rendah dengan barisan pelajar dan cikgu baharu di sekolah SMK Ayer Dalam. Sitkom ini turut dibarisi pelakon seperti Adibah Noor, Nadiya Nisaa, Fimie Don, Juzzthin, Taukeh (Raja Lawak) dan ramai lagi. Ia bakal bersiaran mulai 1 Oktober ini jam 6.30 petang di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135)

Dalam pada itu, ditanya sudahkah dia bersedia andai lakonannya dikritik atau dibandingkan dengan watak cikgu Bahasa Inggeris yang pernah dilakonkan oleh Zain, sambil tersenyum Mark berkata dia tidak risau jika dirinya dibandingkan mahupun dikritik.

Katanya, sebagai personaliti televisyen dia juga tidak terlepas daripada dikecam dan dilemparkan dengan komen negatif apatahlagi dengan kini adanya dunia media sosial.

"Watak saya watak baharu dan karakternya berbeza dengan watak sebelum ini. Tetapi saya memang sudah sedia dan tidak kisah jika dibandingkan kerana sebelum ini pun saya pernah dikritik di laman sosial misalnya di Instagram.

"Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Kalau mungkin ada yang tidak suka tidak mengapa tetapi sekurang-kurangnya ada segelintir yang akan suka," katanya.

Sejak berkunjung ke Malaysia kira-kira empat tahun lalu, Mark memulakan kerjayanya di sini sebagai hos program 8TV Quikie selain dia terlibat program seperti Jinny Boy TV dan beberapa program berkonsep travelogue.

"Selain Malaysia saya selalu mengembara ke negara Asia yang lain dan terlibat dengan beberapa program travelogue. Saya suka tinggal di Malaysia kerana keunikan masyarakatnya yang berbilang kaum, keunikan budaya dan cuaca di sini. Saya sebenarnya sukakan cuaca panas," katanya yang sempat berkongsi serba sedikit pendapatnya mengenai negara ini.

Perkembangan lain, Mark akan sibuk dengan penggambaran sebuah program travelogue pada November depan. Kata Mark, menariknya program tersebut mencabarnya menjayakan misi pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal.
Powered by Blogger.