Berita Terkini
recent

Malam Kemala Irama dapat sambutan luar biasa

DALAM usaha memelihara kesenian tradisional, Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), di bawah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kembali dengan program Gema Seni Tradisional.

Menerusi acara tahunan yang mula diperkenalkan sejak 2015 ini, program bersifat apresiasi ini cuba mendekatkan khalayak khususnya generasi muda kini agar terus mengenal dan menghargai keindahan seni budaya warisan bangsa.

Antara kesenian yang pernah diketengahkan adalah Makyung dari Pasir Mas, Wayang Kulit dari Dalang Cina, Caklempong, Dikit Barat, Gamelan, Seni Bertabik, Ghazal, Dondang Sayang dan Keroncong.

Justeru, tahun ini Gema Seni Tradisional tampil dengan kelainan untuk mengajak penonton menghayati keindahan lagu Irama Melayu Asli menerusi Citra Seni dan Malam Kemala Irama.


Program yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Aswara pada 19 September lalu ini  mendapat sambutan yang begitu hebat bukan sahaja dalam kalangan penuntur Aswara, tetapi penonton dari luar.


Sesuai dengan tema menikmati keindahan lagu Melayu Asli, Malam Kemala Irama menampilkan penyanyi popular, Noraniza Idris bersama  bekas graduan Aswara yang juga pernah bergelar juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2006 hingga 2014 iaitu Edie Nazrin, Abby Sabiha, Azizzul, Hazra, Myra Rahim dan Fitri Hiswady.

Mereka akan mempersembahkan secara evolusi bermula era 1950-an hingga kini menerusi pelbagai segmen berbeza.

Gandingan penyanyi dua generasi ini mempamerkan kehebatan masing-masing dalam mengimprovisasi sesebuah nyanyian lagu Melayu Asli mengikut kreativiti mereka sendiri.

Tidak ketinggalan, mereka juga menyanyikan dua lagu moden yang kini sedang menjadi siulan iaitu Menahan Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Zalikha dari Floor 88 dalam rentak lagu Melayu Asli.

Malam Kemala Irama ini turut dihadiri artis dan selebriti popular tanah air seperti Pak Ngah, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa, Ayati Tasrip, Asmidar, Wany Hasrita dan lain-lain.

Menyambut baik usaha untuk mengajak generasi muda menghargai kesenian tradisional, pengarah muzik dan komposer terkenal, Pak Ngah menyifatkan acara ini perlu diadakan secara berterusan dari masa ke semasa.

“Saya gembira dengan penganjuran program seperti ini kerana ia sangat bermanfaat kepada masyarakat terutamanya kepada generasi kini yang mungkin tidak kenal kesenian warisan kita.

Melalui usaha ini, kesenian tradisional ini akan terus dipelihara malah diwarisi oleh generasi baru untuk dipertahankan pada masa depan.

“Tidak hanya Aswara, tetapi biarlah usaha ini turut mendapat perhatian pihak stesen TV dan radio untuk memberikan ruang kepada program-program sebegini agar ia dapat disebar luaskan kepada semua peringkat masyarakat,” katanya yang ditemui selepas persembahan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.