Berita Terkini
recent

Khai lunas impian Rosma

Menyedari minat Rosma, 32, yang begitu mendalam terhadap dunia nyanyian, Khai, 38, berusaha menjadikan impian isterinya itu kenyataan.

Lantaran itu Khai memberi laluan dan menyokong isterinya serta sanggup mengeluarkan modal sendiri bagi menghasilkan single terbaru Rosma berjudul Sumpah Setia ciptaan Edry Abdul Halim.

Meskipun Khai atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Mohammad Wahi yang menguruskan segala urusan penerbitan single terbaru itu, dia tetap memberi kebebasan kepada Rosma untuk memilih Edry sebagai komposer.

Menurut Rosma, sejak dulu dia memang meminati koleksi lagu ciptaan Edry dan ketika bertemu komposer itu, dia diperdengarkan lima lagu seterusnya tertarik dengan melodi Sumpah Setia.

“Ia berkonsep balada dan liriknya pula menceritakan kasih sayang dan kesetiaan saya kepada Khai. Proses rakaman mengambil masa dua minggu dan sepatutnya lagu itu sudah berada di pasaran Ramadan lalu tetapi kerana Khai ada masalah sakit tulang belakang (slipped disc), baru sekarang saya dapat memperdengarkannya kepada peminat.

“Selepas 10 tahun tiada lagu baru, diharap Sumpah Setia dapat memberikan saya nafas baru dalam arena seni suara tanah air. Ikutkan mahu berduet dengan Khai tetapi dia bersungguh-sungguh mahu saya tampil solo kerana tahu saya sangat suka menyanyi. Dia pula sibuk menguruskan perniagaan produk pelangsingan badan dan minyak wangi,” katanya.

Jelas Rosma, Khai juga sanggup mengeluarkan bajet besar untuk singlenya itu kerana dia mahu membuat kemunculan semula secara serius.

“Saya dan Khai pernah merakamkan lagu duet Warna Cinta dan Dengan Sekali Lafaz tetapi ia tidak mendapat sambutan kerana tiada pasukan promosi. Agak sukar untuk kami melakukan semuanya sendiri.

“Kini, kami sudah bersedia malah penyertaan saya dalam program AF Megastar pendedahan yang bagus meskipun tersingkir awal.

“Selepas terkeluar, saya rancak mempromosikan lagu Sumpah Setia. Tidak rasa kecewa pun apabila gagal ke peringkat seterusnya kerana dengan kemunculan saya seketika di pentas program itu sudah dapat mengembalikan kenangan peminat dan ia permulaan yang bagus apabila dapat kembali dengan produk baru.

“Khai pun dapat tawaran menyertai AF Megastar tetapi dia tolak kerana mahu beri peluang kepada mereka yang benar-benar berbakat,” katanya.

Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidek berkenalan dengan Khai ketika mereka bersama-sama menyertai Akademi Fantasia musim pertama (2003). Pasangan ini mendirikan rumah tangga selepas lima tahun menyulam kasih dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad Amzar Danish, 8 serta Nur Amani Damia, 3.

Penampilan baru

Kali ini Rosma bukan saja melancarkan single baru tetapi juga gembira dengan penampilan dirinya yang langsing dan berhijab.

“Sebelum ini tubuh saya berisi dan tidak bertudung tetapi sekarang muncul dengan imej baru. Sebenarnya, selama ini pun saya masih menyanyi tetapi kali ini betul-betul mahu melakukan kemunculan yang lebih serius dan ada perancangan menerbitkan album mini,” katanya.

Selain mencintai genre balada, Rosma tidak menolak sekiranya ada permintaan menyanyikan lagu irama Malaysia kerana menjadi tanggungjawabnya memastikan lagu sedemikian tidak akan dilupakan peminat seni.

“Lagu irama Malaysia agak mudah untuk dinyanyikan kerana melodi, lenggok dan patah lagunya tidaklah seberat lagu etnik kreatif atau irama asli yang lain. Sebagai penyanyi, saya kena tahu kemampuan diri setakat mana dan tak mahu dituduh ‘perosak lagu’.

“Lagu Sri Mersing misalnya, ia antara lagu irama asli yang sukar dinyanyikan. Kepada penyanyi yang mahu menyanyikan lagu irama sebegitu mereka kena selalu menyanyikannya dan terus belajar agar dapat melenggokkan lagu itu dengan betul.

“Antara penyanyi yang boleh membawakan lagu irama asli dengan baik ialah Haziq dan Syura,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.