Berita Terkini
recent

Keserasian jiwa Sam, Ayda

BUKAN mudah buat pasangan hero dan heroin yang pertama kali digandingkan mencari keserasian menghidupkan watak mereka.

Ternyata, selain pengalaman dan skil, kerjasama yang baik di antara pasangan pelakon adalah perlu bagi memastikan wujudnya chemistry.

Itulah yang boleh Media Hiburan katakan kepada pelakon popular, Shaheizy Sam dan Ayda Jebat yang kali pertama 'bertemu' di layar perak menerusi filem cinta romantik, Pinjamkan Hatiku yang bakal menjengah pawagam seluruh negara 30 November depan.

Selain Sam, turut sama terlibat di dalam filem arahan Osman Ali ini ialah pelakon versatil, Farid Kamil.

Ditemui sejurus majlis pelancaran trailer dan muzik video bagi runut bunyi filem berkenaan di Red Box Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Sam dan Ayda mengakui gandingan mereka adalah satu idea yang baik. Sementelah, keduanya saling memuji perihal kerjaya seni masing-masing yang kian berkembang.

Bagi kedua bintang itu, apa yang dipersembahkan menerusi filem tersebut adalah satu terjemahan pasangan bercinta dan untuk mengikuti apakah kesudahan dan bezanya Pinjamkan Hatiku ini berbanding filem cinta lainnya, jangan ketinggalan untuk menonton filem ini apabila ditayangkan tidak lama lagi.

Teruja filem terbaru

Berkongsi penglibatan dua figura popular ini, Sam atau nama lengkapnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 35, mengakui dia terpaksa mengamalkan diet ketat untuk tampak kurus dan lemah demi memastikan dapat memenuhi karakter dan jiwa watak yang
diberikan.

Jika sebelum ini, filem cinta lakonannya memerlukan dia nampak ‘jambu’ atau kacak, namun berbeza dengan Pinjamkan Hatiku kerana terpaksa menurunkan berat badan sehingga lapan kilogram supaya tampak kurus dalam beberapa babak.

Justeru, cerita Sam, mempercepatkan proses itu, dia terpaksa tahan diri dengan hanya mengambil sayur dan jus buah sahaja di samping menjamah menu lain dalam kuantiti sedikit.

"Selebihnya, saya akan berlari untuk beberapa ketika sebelum tidur demi mendapatkan fizikal seperti yang dikehendaki,” katanya jujur. Menyifatkan kesungguhan yang dilakukannya sebagai satu simbolik terhadap minat dan kecintaannya terhadap dunia lakonan, pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ini berharap agar pengorbanan itu boleh menjadi inspirasi kesedaran kepada produksi filem dan drama.

“Memang agak perit. Rasanya lepas ni saya tak mampu buat lagi kot. Kerja saya berlakon dan bila ada yang perlekeh kata pelakon kita tak sanggup berubah demi watak, saya sedikit sebanyak terkesan sebab saya pun pelakon," ujarnya.

Bagi Sam, rakan pelakon lain bukan tidak mampu atau mental tidak kuat tetapi perlu sokongan peminat termasuk produksi dan dia melakukannya kerana passion.

"Misalnya bila dapat tawaran bawa watak baru, kita ada sebab untuk buat perubahan,” jelas pelakon filem Interchange ini lagi.

Idam kerja dengan Osman Ali

Ditanya apakah yang menarik minatnya untuk terlibat di dalam filem yang menelan kos lebih RM1.8 juta ini lagi, Sam mengakui cukup gemar hasilan pengarahnya, Osman Ali, khasnya menerusi filem Anak Halal.

“Saya suka dengan perjalanan wataknya. Sama ada di dalam atau luar set, saya suka dengan cara Osman Ali membentuk watak pelakon. Kerjasama ini akhirnya tercapai sebab sebelum ini pun, kami pernah berbincang tetapi tidak kesampaian atas
kekangan komitmen lain,” kongsi Sam yang turut menambah, peluang beraksi dengan pelakon, Ayda Jebat turut membuka satu ruang baru terhadap profil seninya.

Sam turut memuji Ayda yang senang bekerjasama dan saling memahami kerana sikapnya yang mudah mesra ketika mengikuti kelas lakonan sebelum memasuki set penggambaran.

"Ayda cukup fun. Saya macam berada di zaman remaja balik sebab rasa diri ni sudah tua. Berlakon pula dalam filem cinta," katanya.

Mengharapkan sambutan dan maklum balas yang baik daripada peminat, Sam turut berharap filem yang mempunyai genre cinta seperti ini akan terus diminati.

“Semoga Pinjamkan Hatiku ini dapat hidupkan kembali keghairahan penonton terhadap filem cinta, kerana filem ini pun bukanlah berkisar kisah cinta seperti kebiasaannya. Saya sendiri tidak boleh lupakan journey sepanjang terlibat dalam Pinjamkan Hatiku dan saya percaya, journey itu jugalah nanti yang akan dirindui penonton,Insya-ALLAH,” kata Sam optimis.

Ayda bertuah dibantu Sam, Farid

Sementara itu, Ayda Jebat turut berkongsi terujanya yang membawa watak Laila Safitri menerusi naskhah filem pertama lakonannya ini.

Katanya, dua minggu sebelum memasuki set, mereka turut mengikuti kelas lakonan di bawah pimpinan Fauziah Ahmad Daud.

Ayda bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada pelakon filem yang dianggap hebat ini yang turut disokong Aura White.

Pada masa sama, katanya, dia juga gembira kerana kerana Sam dan Farid membuatkan dia selesa bergandingan untuk menghidupkan watak.

“Rasa ‘wow’ pun ada bila dapat tahu dua bintang hebat ini setuju untuk berlakon bersama saya yang masih boleh dikatakan baru dalam dunia lakonan,” bicara Ayda yang turut akui, dia ada mencadangkan mana Sam untuk mendukung watak hero untuk filem berkenaan.

“Saya ada cadangkan Sam memandangkan pada waktu itu, dia tengah meletop dalam filem Polis Evo. Tambahan pula, Sam sudah jarang terlibat dalam filem cinta kebelakangan ini. Cadangan saya diterima dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Rasanya Sam ialah the best choice,” ujar Ayda.

Mahu jadi pelakon berilmu

Pada masa sama, Ayda turut meletakkan harapan tinggi untuk terus komited dalam cabang seni lakon dan nyanyian kerana itu adalah keutamaannya yang berhasrat menjadi seorang artis berilmu.

“Sebagai seorang pelakon, kita perlu cuba untuk jadi versatil dengan mencuba pelbagai watak yang diberikan dengan baik.

Misalnya watak serius, antagonis, air mata dan sebagainya. Saya memang mahu cuba macam-macam watak.

“Bagi saya, bukan soal pengalaman atau apa sebab saya hanya mahu pelakon yang ada ilmu dan mudah belajar.

"Sebab, untuk raih pengalaman kita juga perlu ada proses pembelajaran juga,” cerita Ayda yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama 15 episod berjudul Dekatkan Jarak Kita di samping pelakon tampan Syafiq Kyle, Wan Sharmila dan
Nadia Brian.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.