Berita Terkini
recent

Kehilangan anak syurga diratapi

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Adik harap semuanya berada dalam keadaan baik dan sentiasa dikelilingi orang yang berjiwa positif.

Ketika mahu menulis untuk ruangan ini, adik tidak tahu bagaimana mahu menyusun ayat bagi memulakan coretan seperti selalu.

Barangkali adik dan seluruh rakyat Malaysia masih lagi berduka atas tragedi kebakaran yang melanda penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal pagi Khamis lalu.

Hati mana yang tidak luluh apabila mendengar perkhabaran mengenai pemergian 21 anak kecil termasuk dua guru dalam satu kebakaran yang berlaku di tempat mereka menuntut ilmu?

Tambah pula mereka giat mendalami ilmu agama. Jika kita sendiri, sudah pasti kehilangan kata-kata apabila membaca berita tragis sebegini.

Apatah lagi bagi keluarga mangsa yang terpaksa menerima hakikat bahawa darah daging mereka sudah dijemput Tuhan buat selama-lamanya.

Jujur, adik sendiri amat berdukacita apabila mendapat tahu mengenai tragedi ini. Sebagai seorang kakak yang rapat dengan ahli keluarga dan adik-beradik, adik sendiri cukup mengerti akan fasa trauma yang dilalui keluarga mangsa.

Namun apakan daya, berat mata melihat kesedihan mereka, berat lagi bahu keluarga mangsa yang harus menerima realiti mereka kehilangan anak yang dikasihi.

Apapun, banyak iktibar yang kita boleh pelajari menerusi kejadian ini dan bukannya untuk mencari kesalahan atau menuding jari.

Pertama, jaminan keselamatan sesebuah premis khususnya institusi pembelajaran yang membabitkan kawasan berasrama dan kanak-kanak kecil.

Mungkin perkara ini perlu diambil serius kerana mampu membawa bencana yang meragut nyawa insan tidak berdosa.

Menerusi laporan akhbar, kejadian kebakaran itu berlaku ketika mereka sedang tidur. Bagaimanapun, pelajar tahfiz berkenaan gagal menyelamatkan diri dan terperangkap dalam bilik asrama kerana semua tingkap berjeriji besi.

Tambah pula asrama pelajar berkenaan hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan tiada laluan kecemasan khas disediakan.

Namun, pada pendapat adik setiap bangunan penempatan pelajar perlulah dilengkapi dengan pelbagai elemen keselamatan bagi mengelakkan perkara tragis sebegini terjadi.

Pihak kerajaan khususnya perlu memantau setiap premis pembelajaran yang sedang atau sudah dibina supaya ia menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Mungkin benar kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah tapi sebagai seorang Islam yang percaya pada qadak dan qadar, kita perlu menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran untuk memperbaiki atau mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan bagi sekolah berasrama.

Dalam masa sama, pihak berwajib seperti forensik dan yang berkaitan perlu meneliti tragedi ini sebaik-baiknya supaya punca kebakaran sebenar dapat dikenal pasti.

Hal ini secara tidak langsung sedikit sebanyak dapat membantu menangani masalah serupa pada masa akan datang.

Perkara kedua yang ingin adik sentuh adalah kurangnya sifat sensitiviti dalam diri sesetengah individu.

Bayangkan, ketika kita semua sedang bersedih dengan tragedi ini, ada pula yang berkongsi gambar mayat mangsa dan video kebakaran di platform media sosial secara terbuka. Apakah niat dan tujuan mereka berbuat begitu?

Nasihat adik, janganlah berbuat begitu. Kita seharusnya menghormati perasaan orang lain, terutama keluarga mangsa.

Adik percaya kita sebagai manusia mempunyai belas ihsan yang tinggi, terutama apabila kejadian menyayat hati seperti ini berlaku.

Jangan kerana kemaruk mengumpul jumlah ‘likes’ atau tontonan netizen di laman sosial, jati diri dan nilai murni sanggup kita gadaikan.

Apapun pendapat dan pandangan, kita mesti berfikir seperti di tempat mereka yang mengalami musibah yang tidak diingini ini.

Sebelum adik mengakhiri coretan ini, adik menyeru pada kita semua sebagai rakyat Malaysia mendoakan anak-anak syurga yang sudah pergi meninggalkan dunia fana ini ditempatkan roh mereka dalam kalangan orang-orang yang disayangi Allah.

Mungkin kehilangan mereka sedikit mengejutkan tetapi adik percaya, Allah punya perancangan yang lebih bagus untuk mereka.

Al-Fatihah buat anak-anak syuga warga Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban. #AnakSyurga
ot;1" />
Powered by Blogger.