Berita Terkini
recent

Jatuh hati dengan Malaysia

BAGI mereka yang menggemari filem Bollywood, kelibat wanita ini sememangnya tidak asing lagi.

Dia juga cukup sinonim dengan watak ibu dan sering kali berperanan sebagai ibu kepada megastar Bollywood, Datuk Shahrukh Khan.

Antara filem yang pernah dibintanginya adalah Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Duplicate, Soldier, Kuch Kuch Hota Hai, Kaho Naa... Pyaar Hai, Chori Chori Chupke Chupke, Kabhi Khushi Kabhie Gham dan banyak lagi.

Terbaru, wanita berusia 68 tahun turun ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem terkini lakonannya, I’m Not a Terrorist, yang juga terbitan produksi dari Malaysia, White Merpati Entertainment.

Memegang watak sebagai Zabira, ibu kepada watak utama, Ummar lakonan Afiq Muiz, Farida berkata, dia menerima tawaran kerana tertarik dengan skripnya selain turut mengenali penerbit filem ini yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri, S. Baldev Singh.

"Bila saya baca skrip, saya tertarik dengan watak dan jalan cerita. Saya tak fikir panjang untuk menerima," ujarnya ketika ditemui media pada malam gala tayangan I'm Not A Terrorist arahan Arjin Uppal di GSC Pavilion, baru-baru ini.

Tambah Farida, dia juga sangat berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan produksi luar dan berharap peluang sebegini akan datang lagi pada masa depan.

"Tidak ada apa yang perlu saya rungutkan, Arjin juga tahu apa yang dia mahukan dan tidak sukar untuk bekerjasama dengannya," katanya yang turut berharap ada lagi peluang berlakon bersama produksi luar negara.

Ditanya mengenai Malaysia dan penerimaan masyarakat tempatan di atas kedatangannya, Farida yang ketika itu agak kepenatan kerana melalui perjalanan jauh secara berseloroh menyifatkan orang lain mengenalinya sebagai ibu Shahrukh Khan.

"Saya tak fikir orang kenal saya sebagai Farida Jalal, tapi sebab sering jadi ibu Shahrukh Khan di dalam filem.

Farida mengakui suka Malaysia dan menganggap perlu menguasai bahasanya supaya memudahkannya berbual.

"Rakyat Malaysia terutama generasi muda juga sangat baik. Mereka sangat mengutamakan saya dan mementingkan keselesaan dari mula saya tiba.

"Insya Allah kalau ada rezeki saya mahu ke sini lagi selepas ini," ujarnya yang menggalakkan pelakon muda untuk berani melakukan apa yang mereka mahu dan jangan menanti waktu serta berfikir untuk melakukan apa yang mereka mahu.



'Berlakon hingga hujung nyawa'

Sementara itu, ditanya tentang desas-desus yang mengatakan dia bakal bersara dari bidang lakonan, lantaran kelibatnya dalam bidang lakonannya yang semakin berkurangan, Farida pantas menafikannya.

Wanita yang memiliki raut wajah penuh keibuan ini sempat berseloroh berseloroh: "Adakah penonton sudah tidak mahu melihat saya?"

Jelas Farida, selagi hayat di kandung badan, dia akan terus berlakon sehingga ke hujung nyawa kerana lakonan sudah sebati dengan dirinya

"Cuma sebenarnya saya dari dulu lagi seorang yang agak memilih. Selalunya saya nantikan tawaran yang betul-betul sesuai sebelum menerimanya.

"Bagaimanapun tidak ada spesifik watak bagaimana yang saya mahukan. Malah kalau diberi lagi watak sebagai ibu, saya sedia untuk menjayakannya.

"Bagi saya setiap watak itu berbeza kerana filem yang dijayakan itu juga berbeza, walaupun watak itu hanya sekadar seorang ibu," katanya yang tidak pernah merasa lelah untuk membawakan watak air mata.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.