Berita Terkini
recent

Ippo Hafiz buat demi peminat

PENYANYI Ippo Hafiz yang terkenal sebagai penyanyi dan pencipta lagu tema drama melakar sejarah tersendiri apabila bakal menjayakan konsert soundtrack pertama di Malaysia pada 6 Oktober ini.

Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 28, berkata, Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017 yang akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi itu dirancang selepas sambutan Aidilfitri lalu membabitkan hampir RM100,000.

"Ikutkan saya merancang untuk mengadakan konsert ini pada April lalu. Namun disebabkan beberapa perkara saya tunda ke tarikh lain. Alhamdulillah, perancangan ini dipermudahkan serta mendapat sokongan beberapa pihak termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Konsert di UKM ini adalah permulaan kepada perancangan untuk mengadakan siri jelajah di beberapa lagi lokasi universiti dalam negara. Jika konsert ini berjaya, Insya-Allah saya akan teruskan lagi pada tahun depan," katanya kepada Harian Metro.

Ippo berkata, dia juga dalam proses mendapatkan permohonan daripada Malaysia Book of Records.

"Kos keseluruhan konsert ini daripada saya. Kalau ada yang menaja pun ia membabitkan pembelian tiket. Saya mengadakan konsert ini bukan mencari keuntungan, tetapi sebagai hadiah kepada peminat yang tidak berhenti memberikan sokongan kepada semua lagu ciptaan saya.

"Sekiranya tiket habis dijual, dapatlah pulang modal dan saya boleh merancang konsert seterusnya di tempat lain," katanya.

Konsert itu juga bakal menampilkan 11 penyanyi termasuk dirinya serta penampilan istimewa pelakon Mira Filzah.

Antara penyanyi terbabit ialah Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Tajul, Wani, Irfan Haris, Ronnie Hussien, Syed Shamim, Deen Asimi, Fahd Ezuan dan Neon Band.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Ippo sudah menghasilkan hampir 20 lagu yang kebanyakannya dipilih menjadi lagu tema drama dan filem tempatan.

Antaranya Rahsia dan Hujan Sepi bagi drama Teman Lelaki Upahan, Kekal Bahagia, Yang Terindah, Ku Tak Mampu dan Ku Ingin Kamu (Cinta Si Wedding Planner), Redha (Suri Hati Mr Pilot), Menanti Janji (Biar Aku Jadi Penunggu) dan banyak lagi.

Maklumat tiket sila layari www.ticketpro.com.my.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.