Berita Terkini
recent

Hajat Tak Kesampaian, Rizalman Reda Ketentuan Tuhan

Menerusi laporan Harian Metro, pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim meluahkn rasa sedih kerana hajatnya untuk membawa pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menghuni di rumah yang dibinanya berhampiran pusat tahfiz itu tidak kesampaian apabila sebahagian daripada mereka terbunuh dalam tragedi kebakaran awal pagi semalam.



Rizalman, 46, berkata, rumah yang lengkap dengan kolam renang itu masih dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.

"Pastinya selepas ini setiap hari saya akan melalui pusat tahfiz ini. Walaupun ia amat menyedihkan, saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Rizalman juga salah-seorang penyumbang terbesar kepada pusat tahfiz berkenaan membabitkan wang tunai dan barang-barang keperluan.

Rizalman berkata, dia amat terkesan dengan kejadian itu salah-seorang anak angkatnya, Umar Nail, 15, pernah belajar di situ selama empat tahun sebelum dia membuat keputusan menghantarnya ke Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Negeri Sembilan.

"Umar pernah belajar di situ dan apabila mendapat berita mengenai kebakaran itu pada jam 8 pagi tadi, pada mulanya saya tidak percaya sehingga saya minta keluarga yang berkongsi berita itu tunjukkan saya gambar bangunan pusat tahfiz itu.

"Apabila mendapat tahu ia memang pusat tahfiz yang pernah Umar belajar dulu, badan saya terus menggigil," katanya.

Selain Umar, Rizalman juga mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Aali Nail.

Rizalman berkata, banyak kenangan tersimpan di pusat itu, malah Ustaz Yusuf yang turut terkorban juga pernah mengajar Umar.

"Sejurus mendapat tahu perkara ini saya sempat ke lokasi bertemu pengetua dan mengucapkan salam simpati.

"Rasa sebak dan hari ini sepanjang hari saya kerap menangis kerana terlalu sedih. Mereka sudah rapat dengan saya.

"Setiap kali saya mengadakan apa saja majlis, Ustaz Yusof dan anak-anak ini akan hadir tanpa sebarang alasan," katanya sebak.
Powered by Blogger.