Berita Terkini
recent

FFM29: Finas Mansuh Kategori Filem Terbaik Kebangsaan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil keputusan memansuhkan kategori Filem Terbaik Kebangsaan dan Filem Terbaik Malaysia yang diwujudkan tahun lalu pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) kali ini.

Ketua Pengarah Finas, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29,  Datuk Fauzi Ayob berkata, hanya satu kategori dikekalkan iaitu Filem Terbaik bagi mengangkat dalam nashkah terbaik sebagai pemenang.

"Kami mengambil keputusan untuk memansuhkan kategori itu bagi mengelakkan kontroversi dan semua bertanding diadili menerusi satu kategori sahaja," katanya.

Fauzi ditemui pada sidang media kedua FFM29 yang diadakan di Hotel Park Royal di sini, Selasa.
Turut sama Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Sebanyak 53 filem dipertandingkan pada acara yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 September ini.

Tahun lalu, Finas menjadi perhatian apabila  mewujudkan kategori filem dalam Bahasa Malaysia dan bukan dalam Bahasa Malaysia untuk dipertandingkan.

Filem Ola Bola' dan Jagat yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik bukan dalam bahasa Malaysia telah menimbulkan bantahan sebilangan penggiat filem tempatan.

Dalam pada itu, sebanyak 53 buah filem diterima oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk dipertandingkan pada FFM29 tahun ini.

Fauzi berkata, daripada jumlah itu pihaknya menerima 41 buah filem berbahasa Melayu, enam (Mandarin), lima (Tamil) dan selebihnya berbahasa Inggeris.

"Penjurian pula menjalani dua peringkat iaitu pada peringkat awal bermula dari  4 hingga 11 September 2017 dan peringkat kedua pula pada 12 hingga 19 September.

"Bagaimanapun seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, calon lima terbaik hanya akan diumumkan pada malam kemuncak FFM29 nanti," katanya.

Mengikut amalan calon lima terbaik diumumkan lebih awal namun ia diubah pada tahun ini.
Sementara itu, Zizan Razak bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos utama FFM29 bersama tiga pelakon jelita iaitu Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Thanuja menerusi beberapa segmen.

FFM29 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 9 malam.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) bertindak sebagai rakan promosi bagi acara itu.


ot;1" />
Powered by Blogger.