Berita Terkini
recent

Fee Haiqal terharu terima sokongan ibu

HADIR dengan single sulungnya berjudul Aku Mencari, Fee Haiqal bersyukur kerana akhirnya, dia berjaya merealisasikan impian melancarkan lagu pertama.

Penyanyi dengan sebenarnya, Mohd Alfeeq Haiqal Mohammad Fauzi ini sekali gus dapat memperkenalkan diri sebagai antara penyanyi pelapis yang tidak harus dipandang sepi.

Selain berbakat menulis dan mencipta lagu, anak bongsu dua beradik ini turut memasang visi di dalam dunia muzik tempatan.

Katanya kepada Media Hiburan, dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas ini, dia akan melancarkan sama ada satu atau dua single baru khusus untuk halwa telinga pendengar.

“Sejujurnya saya hanya mahu mengadakan majlis bagi meraikan ulang tahun kelahiran saja. Bagaimanapun, timbul idea untuk buat terus majlis pelancaran Aku Mencari dalam satu masa yang sama.

"Jadi saya fikir mengapa tidak memandangkan lagu tersebut sudah pun berada di semua platform muzik digital sejak April lalu,” kongsi Fee yang turut mengakui, Aku Mencari dipilih sebagai single sulung kerana lagu itu yang pertama dicipta sejak tiga tahun lalu.

Justeru, kata penyanyi berusia 24 tahun ini lagi, meskipun sebelum ini dia sudah pun mempunyai pengalaman merakam lagu, hakikatnya Aku Mencari merupakan penanda aras buat penyanyi yang berasal dari Selangor ini untuk menempatkan diri sebagai anak seni secara serius.

“Benar, sebelum ini saya ada lagu duet bersama ibu. Tapi, pada masa itu saya hanya menjadikannya sebagai satu hobi memandangkan saya seorang pelatih kecergasan bebas sejak enam tahun lalu," cerita Fee lagi.

Bagaimanapun, katanya, sudah tiba masanya dia berdikari menjadi penyanyi sepenuh masa tetapi tidak akan meninggalkan profesionnya lamanya.

Fee juga mahu melihat maklum balas ramai terhadap Aku Mencari terlebih dulu sebelum melakukan penggambaran muzik video untuk lagu berkenaan.

Teruja jadi penyanyi


Melihat kepada keupayaannya dalam persembahan secara langsung, Fee yang turut menyanyikan beberapa lagu ketika pelancaran single tersebut di Trus Issue Café, Kuala Lumpur baru-baru ini menambah, dia benar-benar teruja dan komited terhadap apa yang dilakukan, lebih-lebih lagi setelah mendapat sokongan ibunya dan rakan terdekat.

“Sebenarnya, bukan mudah mengumpul keberanian dan keyakinan untuk melancarkan lagu sendiri, apatah lagi saya boleh dikatakan sebagai baru mencari tapak kukuh dalam industri. Tapi, saya bertuah sebab ibu banyak memberi semangat.," ujarnya

Kata Fee, ibunya, Noraniza Idris sentiasa menyokong minat anak-anak.

 Tambahnya lagi, ibunya adalah individu paling kuat memberi dorongan apabila dia menyatakan hasrat untuk menyanyi termasuk memberi tip sebagai persediaan melangkah ke dunia seni.

"Terima kasih juga buat rakan terdekat yang turut membantu dari segi idea dan susunan muzik di dalam setiap lagu yang dihasilkan,” luah Fee yang turut menjelaskan, setiap lagu yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri.

Cuba pelbagai genre

Menyifatkan dirinya bertuah kerana di kelilingi insan seni yang banyak memberi tunjuk ajar, Fee juga secara peribadi tidak mahu statik terhadap sesebuah genre semata-mata, sebaliknya, sebagai orang baru sebolehnya dia mahu mencuba pelbagai genre bagi mencari keserasian dan berusaha menyanyikan semua jenis lagu dengan baik.

“Macam ibu, orang dah kenal dia dengan lagu irama Malaysia. Sementara saya pula lebih terarah kepada genre R&B, pop dan soul. Tapi, saya tak mahu terikat dengan satu jenis muzik sahaja.

“Malah kata ibu, beri ruang untuk diri mencuba sesuatu yang baru. Sebab itulah, saya ada rakan-rakan untuk berkongsi mengenai susunan muzik yang akan dihasilkan ketika proses cipta lagu. Jadi dari situlah, kita akan dapat tengok mana yang sesuai,” beritahu Fee.

Mengharapkan maklum balas positif daripada pendengar, Fee yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Matahari dalam tempoh terdekat juga menjadikan persaingan dalam kalangan penyanyi seangkatan sebagai satu senario sihat untuk cabar diri, seterusnya menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Sudah pasti saya berharap kehadiran saya dalam industri ini dapat diterima baik dan semoga Aku Mencari mampu menaikkan nama saya sebagai bintang baru. Pada masa sama, saya tidak mahu melihat persaingan sebagai satu hal yang membebankan.

"Persaingan adalah normal dan daripada situlah, kita akan dapat ukur sejauh mana kebolehan dan kekuatan masing-masing,” akhiri Fee jujur.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.