Berita Terkini
recent

Fazley Diiktiraf Anugerah Alumni Paling Cemerlang Le Cordon Bleu

Cef, penyanyi, personaliti televisyen, pelakon dan penceramah motivasi, Dato’ Fazley Yaakob, 39, melakar sejarah tersendiri apabila mengharumkan nama Malaysia dengan pengiktirafan anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu, Paris, yang diadakan di kampus institut tersebut pada 18 September lalu.

Le Cordon Bleu merupakan institut yang menawarkan pengajian seni kulinari dan pengurusan hotel terbaik sejak tahun 1985 dengan penglibatan 20,000 pelajar daripada 100 negara setiap tahun.

Tidak terkecuali, anak jati Negeri Sembilan itu merupakan salah seorang bekas graduan institut berkenaan dengan mengambil jurusan Diploma de Patisserie pada tahun tahun 2013 dan Hautes Etudes du Gout (2016).

Selain Fazley, tiga graduan turut tersenarai dalam kategori sama ialah Ye Daniel (Diploma de Cuisine, 2008 – China), Aaron Isip (Diploma de Cuisine, 2005 – Filipina) dan Shu Pin Sandra Yu (Grand Diplome, 2008 – Taiwan).

Pemilihan empat figura itu disenarai pendek daripada semua nama yang dicalonkan sehingga menjadikan Fazley berada dalam lima senarai akhir.

Seterusnya, peringkat saringan dijalankan dengan menyenarai dua alumni terbaik sekali gus kemenangan berpihak kepada bapa kepada tiga cahaya mata itu apabila diumumkan sebagai pemenang utama di kota Paris Isnin lalu.

Menariknya, anugerah ini didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih kepelbagaian pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari, keberkesanan berkongsi ilmu menerusi dunia tersebut serta mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian di institut berkenaan.

Pemilihan anugerah ini diadili oleh empat juri khas; Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard, Pastry Cef Tebaik Perancis 2015, Jérôme Chaucesse, Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Cef Alain Pégouret dan Pengarah Sommelier Hotel Ternama di Paris, Estelle Touzet.

Dan lebih signifikan, alumni dari tahun 1940-an yang merupakan rakan-rakan sekuliah figura kulinari lagenda, Julia Childs turut hadir bagi menyaksikan majlis bersejarah itu.

Selain pengiktirafan Alumni Paling Cemerlang, dua lagi anugerah yang turut dipertandingkan pada majlis sama adalah The Best Alumnus Concept dan The Most Successful Entrepreneur.

Ini kali pertama dalam sejarah Le Cordon Bleu mengadakan penganugerahan sedemikian.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.