Berita Terkini
recent

Empat ditahan seleweng wang hampir RM40 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan empat individu termasuk seorang yang bergelar Datuk selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu mereka yang ditahan terdiri daripada Ketua Eksekutif PTPK, Setiausaha PTPK, Penolong Pegawai Kewangan PTPK dan seorang pengarah sebuah syarikat bergelar Dr.

Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antara jam 4.30 petang dan 6 petang dalam satu operasi yang dilancarkan SPRM.

Ketiga-tiga pegawai PTPK tersebut dipercayai telah bersubahat dengan pengarah syarikat tersebut untuk penyelewengan wang yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan program-program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Menurut sumber, maklumat awal yang diperolehi mendapati keempat-empat mereka dipercayai telah menyelewengkan hampir RM40 juta pada tahun 2016 dan 2017.

Katanya, pada tahun 2016, kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta manakala RM40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program-program latihan tersebut.

Siasatan awal mendapati pada tahun 2016, mereka telah menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pada tahun ini.

Ketiga-tiga pegawai itu juga telah berpakat dengan pengarah syarikat tersebut dan meluluskan 15 buah  syarikat miliknya untuk mengendalikan program-program tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya sedang mendapatkan dokumen-dokumen melibatkan penyelewengan tersebut.

Beliau juga berkata, pihaknya akan memanggil saksi-saksi untuk mengambil keterangan dalam masa terdekat dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap untuk membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenalpasti saksi-saksi yang perlu dipanggil untuk tampil membantu siasatan dalam masa terdekat,” ujar beliau.
ot;1" />
Powered by Blogger.